Syukur, Cikgu Din dibenar pindah sekolah lebih dekat dengan isteri

Iklan
Fadhlina ditemui media selepas merasmikan Karnival Pendidikan MADANI dan Program KV Insani Masyarakat MADANI di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Sabtu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan arahan penempatan sementara buat guru, Izzuddin Izhar atau juga dikenali sebagai Cikgu Din yang kini berdepan dengan masalah kesihatan dihadapi isterinya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dicapai menerusi pertemuan yang diadakan KPM bersama guru terbabit baru-baru ini bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Cikgu Din akan ditempatkan di sekolah berhampiran supaya dia dapat melaksanakan tugasan dan juga dapat bersama dengan isterinya.

"Pertamanya kita rakamkan ucapan simpati pada keadaan yang berlaku pada Cikgu Din dan kita akan uruskan kebajikan beliau dengan sebaik-baiknya

Iklan

"Insya- ALLAH kita akan bagi ruang untuk dia bersama dengan isterinya melalui arahan sementara penempatan dan ia bertujuan memastikan dapat bersama dengan isteri dalam tempoh yang amat memerlukan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Sabtu.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial, Harima Abd Rahman mendedahkan Cikgu Din mengalami cabaran dalam hidup selepas permintaannya untuk berpindah tidak diluluskan KPM atas dasar tempoh perkhidmatannya yang belum mencecah tiga tahun.

Iklan

Permohonan itu dibuat kerana cikgu tersebut mahu berada di samping isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, 30, yang menghidap kanser dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital sekitar Kelantan.

Difahamkan, beliau ketika ini mengajar subjek Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok, Kanowit, Sarawak berulang-alik setiap dua minggu untuk pulang ke Kelantan bagi memberi sokongan kepada isterinya.

Pengorbanan demi pengorbanan dibuat akhirnya memakan diri apabila Cikgu Din disahkan menghidap tekanan mental atau major depressive disorder (MDD) yang menyaksikannya turut perlu menerima rawatan.

Sementara itu, Fadhlina menafikan dakwaan konon KPM terpaksa membuat keputusan selepas isu yang dialami oleh Cikgu Din mula tular di media sosial.

"Tak betul, saya ingat proses perbincangan telah dibuat dan juga bagaimana kita menawarkan alternatif-alternatif kepada Cikgu Din telah berlangsung sebelum itu lagi.

"Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih kepada semua kerana perhatian dan kita lihat begitu ramai masyarakat yang empati kepada keadaan Cikgu Din... Jadi saya ucapkan terima kasih dan sama-sama kita doakan kesembuhan pada isteri beliau.

"Insya-ALLAH kita akan ambil perhatian penuh kepada semua berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang ada," katanya lagi.