Ujian dilalui Cikgu Din undang sebak ramai. 'Semoga ada keajaiban ALLAH untukmu cikgu'
Nama Cikgu Din tiba-tiba menjadi bualan ramai apabila seorang pengguna Facebook, Harima Abd Rahman berkongsi kisah cinta, sepi dan perjuangan rakannya itu dalam hantarannya pada Rabu.
Perkongsian Harima yang cukup menyentuh hati itu telah mendapat lebih 18,000 tanda suka, lebih 2,700 komen dan lebih 35,000 perkongsian daripada warga maya.
Ternyata, cerita Cikgu Din ‘begitu dekat’ dengan warganet dan masing-masing mengharapkan adanya keajaiban ALLAH atas ujian dilalui oleh beliau.
Menurut catatan Harima, Cikgu Din kini diuji dengan isteri tercinta, Nur Atiqah My Yusoff yang menghidap kanser dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital sekitar Kelantan.
Namun, beliau (Cikgu Din) yang berkhidmat di Sarawak diduga sekali lagi apabila permohonan untuk bertukar ke Semenanjung demi menjaga isteri, tidak diluluskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas dasar tempoh perkhidmatannya belum mencecah tiga tahun.
"Bagaimana jika kau disahkan menghidap kanser? Doktor beritahu nyawa kau sudah berada di pangkal ajal, bila-bila masa kau akan pergi. Adakah kau ingin mati di pangku pasangan atau kau pilih hayat berakhir seorang diri?
"Ini tentang cinta, sepi dan perjuangan kawan saya, Cikgu Din,” tulis Harima.
Berkongsi kisah itu, Harima berkata, dirinya mengenali Cikgu Din di Sarawak semasa dia mendaftar sebagai guru buat kali pertama di Kanowit sebagai guru kontrak.
Mungkin sudah tertulis rezeki Cikgu Din dalam dunia pendidikan di mana dia akhirnya digazetkan sebagai guru tetap, alhamdulillah.
Cerita Harima lagi, Cikgu Din mula bertugas ketika pandemik Covid-19 dan membawa isteri serta anaknya tinggal bersama-sama.
Namun keluarga mereka diuji apabila isterinya (suri rumah) tiba-tiba terjatuh dan tidak dapat berjalan.
"Dua tiga kali ulang-alik pergi hospital untuk pemeriksaan. Rupa-rupanya isteri dia ada ketumbuhan. Scan (ujian imbasan) lagi sekali, kanser sudah merebak ke paru-paru.
"Masa itulah baru tahu isteri dia menghidap kanser tulang rawan tahap empat (Mesenchymal chondrosarcoma left fumur).
"Disebabkan anaknya masih kecil dan jarak dari Kanowit ke Hospital Sibu untuk menjalani rawatan mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan, Cikgu Din mengambil keputusan menghantar pulang isterinya ke Kelantan untuk kemoterapi sementara mentua menjaga anak mereka.
"Kena kanser ini kau kena kuat mental itu satu hal, tapi kesan sampingan kemoterapi satu hal lain pula. Belum tentu orang boleh hadap. Jadi Cikgu Din buat keputusan untuk ulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu.
"Semata-mata untuk teman dan bagi semangat pada isteri tersayang. Duit, masa (dan) tenaga semua kena korban. Sampaikan kawan saya terpaksa minta cuti tanpa gaji sebab semua cuti sudah ambil,” catat Harima.
Sambung penulis ini lagi, segala pengorbanan yang dilakukan Cikgu Din adalah semata mata mahu melihat isterinya segera pulih namun Tuhan masih menguji.
"Walaupun sudah selesai satu pusingan kemoterapi, namun sel kanser pada badan isterinya masih ada dan yang lebih teruk, sel kanser makin membesar.
"Dia minta tukar ke Semenanjung supaya lebih senang menemani isteri tapi masih lagi belum diluluskan. Dia pergi ke Putrajaya, turun sendiri memandu ke Kuching untuk jumpa Pengarah Pendidikan.
"Tapi keputusannya tetap sama. Alasan (diberikan) pegawai yang menjaga urusan pertukaran ‘EgTukar hanya boleh dibuka kepada guru tetap yang sudah berkhidmat selama tiga tahun," katanya.
Harima mendakwa ada pihak atasan memberikan alasan guru itu masih boleh berkhidmat kerana tidak sakit, sebaliknya isterinya yang sakit apabila dia menghantar surat pertukaran berkenaan.
"Akhirnya kawan saya sendiri 'terkorban'. Mukanya nampak tenang tersenyum, tetapi sebenarnya dia sudah disahkan menghidap MDD (gangguan kemurungan mental).
"Di Semenanjung, dia ulang-alik ke hospital untuk menemani isterinya. Di Sarawak, dia juga ulang-alik ke hospital untuk masalah kesihatannya.
"Lagi malang, walaupun sudah sampai tahap ini, dia masih diberi alasan, EgTukar hanya boleh dibuka kepada guru tetap yang sudah berkhidmat selama tiga tahun," katanya.
Dalam catatan sama, Harima menjelaskan isteri Cikgu Din dikhabarkan sudah tidak diberikan rawatan kemoterapi selepas dua kali rawatan dilakukan.
Tulisnya, keputusan rawatan tetap sama dan doktor terpaksa menghentikan semua rawatan aktif sehingga memberi isyarat 'tunggu masa sahaja'.
Pada saat berita ini diputuskan, pada saat mereka berdua menghitung hari-hari terakhir isterinya di dunia, masih belum ada khabar bahawa Cikgu Din dibenarkan untuk bertukar ke Semenanjung.
"Undang-undang ialah undang-undang. Tapi kita bukan haiwan. Kita manusia yang diberikan kebijaksanaan dan juga rasa belas kasihan. Apa guna kita memamah undang undang kalau hanya untuk merobek sebuah harapan? Apa guna undang undang jika tidak menerbikan rasa ehsan?
"Tiada apa yang saya mahu dari tulisan ini. Saya hanya mahu Cikgu Din berada di sisi isterinya untuk hujung hujung waktu begini. Tapi tulisan saya juga takkan merubah apa apa. Air mata mereka sudah lama kering. Harapan saya hanya bergantung kepada kawan kawan yang membaca tulisan ini. Dengan sokongan kalian, sebarkanlah kisah ini supaya dapat memberi ketumbukan kepada orang orang yang sepatutnya.
"Didoakan Cikgu Din dan isteri boleh bersama semula dan mampu mentitip kalimah suci sebelum segalanya berakhir. Sebelum hanya tinggal memori yang disulami penyesalan dan dendam,” akhiri catatan Harima.