Lebih 5,000 graduan terima ijazah, diploma pada Konvokesyen UMPSA ke-19

Iklan

Seramai 5,115 bakal graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ke-19, yang berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu, di Dewan Kompleks Sukan Universiti UMPSA, Gambang.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainudin berkata, daripada jumlah itu, seramai 83 orang merupakan graduan doktor falsafah (PhD), sarjana (180), sarjana muda (2,538), ijazah dual (64), diploma (533) dan 1,717 graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMPSA Advanced.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Tuanku Pro-Canselor UMPSA, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berangkat menyempurnakan istiadat permasyhuran konvokesyen berkenaan.

"Baginda turut akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim yang merupakan penganugerahan tertinggi akademik atas pelbagai sumbangan beliau kepada universiti dan pendidikan tinggi negara.

Iklan

"Pada majlis konvokesyen kali ini, buat pertama kalinya UMPSA dan Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan akan menganugerahkan Ijazah Dual kepada tiga graduan," katanya.

Dalam pada itu, Yuserrie memaklumkan UMPSA telah melahirkan seramai 48,378 siswazah dalam pelbagai bidang pengajian di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah, sejak majlis konvokesyen pertama pada 2006 dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 97.3 peratus.

Fatini Nasuha dan Wai Kit (kanan) bergambar pada sidang media memperkenalkan penerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen UMPSA ke-19 di UMPSA.

Iklan

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Fatini Nasuha Ahmad Puad, 23, berkata bagi mengekalkan momentum mahasiswa cemerlang, beliau perlu bijak mengenal pasti keutamaan khususnya membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti kesukarelaan.

Fatini Nasuha yang merupakan penerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) berkata dibesarkan dalam keluarga yang sederhana turut memberi motivasi untuk lebih cemerlang.

"Ayah saya bekerja sebagai polis bantuan, mak saya pula seorang suri rumah. Mereka juga sudah berusia dan inilah yang membuatkan saya ingin belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah kehidupan keluarga," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu yang berasal dari Shah Alam.

Beliau yang memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88 itu berhasrat menyambung pelajaran di peringkat PhD, bagi memenuhi cita-citanya menjadi pensyarah suatu hari nanti.

Yuserrie beramah mesra dengan dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Fatini Nasuha (kiri) dan Wai Kit (kanan) pada sidang media memperkenalkan penerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen UMPSA ke-19 di UMPSA Kampus Gambang.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja Choong Wai Kit, 24, berkata ibu dan kakak menjadi sumber motivasinya untuk belajar bersungguh-sungguh, bagi membalas jasa mereka yang membesarkannya selepas kematian bapa.

"Ibu saya bekerja sebagai tukang jahit dan dia tetap bersemangat membesarkan saya dan kakak secara seorang diri setelah ayah tiada.

"Kakak juga menjadi inspirasi saya kerana dia banyak menanggung perbelanjaan ketika saya menjalani latihan industri di Shah Alam," katanya yang merupakan graduan Sarjana Muda (Kepujian) FTKKP dengan PNGK 3.92.

Selain cemerlang dalam akademik, Wai Kit yang berasal dari Ipoh turut aktif dalam pelbagai aktiviti termasuk debat sehingga pernah menjadi pendebat kedua terbaik keseluruhan dan naib johan kumpulan pada Pertandingan Debat Universiti Peringkat Kebangsaan - Piala Hou Xue edisi pertama.

Majlis Konvokesyen Ke-19 UMPSA bersambung pada Ahad dan Selasa. - Bernama