Menduduki tempat ke-23 dunia dan kedua Asia Tenggara bagi Indeks Kesediaan Kerajaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) pada tahun lalu, memberi gambaran bahawa Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi.
Indeks yang dikongsi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Mei lalu, menguatkan laungan kerajaan untuk memantapkan institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi menguasai AI.
Pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu juga menyebut, sejumlah RM50 bilion diperuntukkan kepada sektor pendidikan tinggi bagi menyebar luaskan skop pengajian membabitkan AI.
Terpanggil untuk mendapatkan penjelasan mengenai kesediaan Malaysia membabitkan tenaga pengajar, kemudahan mahupun pelajar itu sendiri menghadapi gelombang ilmu AI, Sinar Bestari dapatkan tiga sosok penting dalam dunia pendidikan teknologi tinggi.
Jom ikuti perkongsian ini!
Meyakini bahawa IPT mampu menggalas tanggungjawab menyebar luas ilmu AI, salah satu sebab mengapa ia dimasukkan dalam peruntukan Belanjawan 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pelajar tanpa mengira peringkat sudah mengaplikasi AI dalam kehidupan seharian.
"Saya yakin para pelajar tidak berdepan kesukaran mempelajari AI dalam perubatan, pendidikan dan dalam apa juga pengkhususan kerana hari ini, semua orang menggunakan teknologi itu.
"Dalam telefon bimbit pun ada teknologi AI. Menulis karangan contohnya, bantuan Chatgpt (Chat Generative Pre-trained Transformer) digunakan walaupun ia kurang sesuai kepada pelajar.
"Saya yakin Generasi Z (Gen Z) sudah bersedia," katanya.
Menurut Mohammad Shatar, Malaysia akan tertinggal sekiranya masih belum melaksanakan kursus AI di IPT, politeknik mahupun pusat pengajian pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Kalau tidak memulakan inisiatif ini, dikhuatiri sektor pendidikan negara tertinggal berbanding negara lain.
"IPT yang dipertanggungjawab seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mampu menjayakan agenda ini.
"UTM sudah menubuhkan Fakulti AI pertama di Malaysia yang mana, ada lebih daripada 30 pakar atau tenaga pengajar yang mampu mendidik pelajar," katanya.
Beliau juga berkata, IPT di Malaysia antara yang terbaik dunia merangkumi fasiliti, tenaga pengajar dan kos pengajian.
"Dalam tempoh lima ke 15 tahun akan datang, mereka yang ada kemahiran AI amat diperlukan sektor pekerjaan Malaysia termasuk global," katanya.
Sektor pendidikan perlu pantas menguasai teknologi AI sekiranya tidak mahu generasi muda tertinggal dalam pasaran kerja.
Pengarah Pentadbiran Pejabatan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTM, Profesor Madya Ts Dr Asnul Dahar Minghat berkata, Fakulti AI yang ditubuhkan universiti itu pada Mei lalu, diharap menjadi perintis buat IPT seluruh negara.
"Sebagai permulaan, UTM mengambil seramai 120 pelajar Ijazah Sarjana Muda AI. Ia sekali gus permulaan negara membekalkan tenaga kerja dan pakar sektor teknologi pelbagai cabang kelak.
"Mereka ini akan menjadi kumpulan pertama yang diiktiraf bagi sektor pendidikan AI," katanya.
Beliau juga berkata, Malaysia yang bersaing rapat dengan Republik Indonesia, Thailand dan Vietnam bagi sektor pendidikan AI, sudah memiliki pakar berkelulusan Doktor Falsafah sejak tahun 1990-an.
"Tetapi trend dunia ketika itu belum benar-benar mengaplikasikan AI dalam kehidupan. Malaysia khasnya masih memfokuskan pengurusan membabitkan keseluruhan sektor," katanya.
Beliau juga berharap dengan tertubuhnya Fakulti AI di UTM, ia dapat membakar semangat IPT seluruh negara mewujudkan lebih banyak peluang pendidikan bidang itu.
Malaysia serius memastikan negara tidak ketinggalan dalam persaingan global.
Pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Politeknik Seberang Perai, Dr Nurul Ihsaniah Omar berkata, IPT juga merancang dan merangka subjek AI sesuai kepada para pelajar.
"Dengan langkah kerajaan memperluas pendidikan AI menerusi peruntukan Belanjawan 2025 lalu, ia membuka laluan kerjaya yang tepat kepada generasi muda," katanya.
Nurul Ihsaniah berkata, dengan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang AI di IPT, negara dapat menyediakan penyelesaian teknologi tempatan.
"Ia membantu mempercepatkan transformasi digital dalam sektor pendidikan, perubatan dan pembuatan.
"Politeknik dan kolej komuniti sebagai contoh mengambil pelbagai inisiatif mengembangkan pendidikan AI agar ia relevan di era Revolusi Industri 4.0," katanya.
Inisiatif itu katanya, mampu melengkapkan pelajar dengan kemahiran diperlukan, membangunkan penyelidikan inovatif serta bekerjasama dengan industri.
Katanya, politeknik dan kolej komuniti juga melatih pensyarah dalam bidang AI seperti robotik, big data dan pembelajaran mesin.
"Selain itu, pensyarah digalakkan mengambil sijil professional seperti ditawarkan pihak IBM dan MDEC," katanya.
INFO
Kecerdasan buatan atau AI adalah teknologi yang membolehkan komputer dan mesin untuk mensimulasikan kecerdasan serta keupayaan menyelesaikan masalah manusia.
Pada permulaan, AI digunakan dalam aplikasi pencarian dan permainan video.
Kini, AI digunakan secara meluas dalam sektor pendidikan, industri pembuatan, kesihatan, pengangkutan dan banyak lagi.
*Sumber: IBM.com
Antara IPT tawar dan guna teknologi AI
1) Universiti Malaya (UM)
Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Kecerdasan Buatan - AI)
Sarjana AI (kerja kursus)
2) Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Ijazah Sarjana Muda AI
3) Universiti Putra Malaysia (UPM)
Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama NACSA
4) Universiti Sains Malaysia (USM)
Kajian AI semikonduktor
5) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
AI alih bahasa menfokuskan bahasa Melayu
6) Politeknik dan Kolej Komuniti
AI dalam program pembangunan profesional (robotik, big data dan pembelajaran mesin)