Maszlee cadang KPM laksana 5 langkah tangani isu buli

Iklan
Maszlee mencadangkan KPM melaksanakan lima langkah termasuk mewujudkan Piagam Hak Murid Nasional bagi menangani isu buli di sekolah.

Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan lima langkah termasuk mewujudkan Piagam Hak Murid Nasional bagi menangani isu buli di sekolah.

Beliau berkata, piagam itu perlu bagi menjamin maruah, keselamatan dan hak semua pelajar tanpa diskriminasi di institusi pendidikan kerajaan dan swasta.

Iklan
Iklan

Maszlee juga mencadangkan supaya definisi undang-undang berkaitan buli perlu lebih jelas dengan memasukkan takrif buli dan buli siber dalam Akta Pendidikan 1996 serta menubuhkan jawatankuasa pemantau di peringkat sekolah dan nasional yang dianggotai wakil ibu bapa, badan bukan kerajaan serta pihak berkuasa.

"Program pencegahan dan intervensi termasuk kaunseling, pendidikan empati dan tindakan disiplin tegas juga perlu dilaksanakan selain membangunkan pangkalan data nasional kes buli juga.

Iklan

"Tragedi arwah Zara Qairina di Papar, Sabah adalah 'panggilan kecemasan' untuk seluruh sistem pendidikan kita. Keselamatan murid bukan isu sampingan, ia amanah tertinggi yang wajib dijaga oleh KPM," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook pada Rabu.

Maszlee berkata, beberapa negara telah membuktikan keberanian mereka melindungi hak murid melalui undang-undang antaranya Korea Selatan menerusi Student Rights Ordinance sejak 2012, Finland (KiVa Anti-Bullying Programme), Kanada (Safe Schools Act) manakala di Jepun setiap insiden buli wajib dilaporkan ke pihak berkuasa pendidikan melalui sistem pusat yang telus.

Iklan

"Tiada model yang sempurna di kesemua negara tersebut, tetapi sekurang-kurangnya mereka mempunyai langkah dan kerangka yang jelas dan holistik dalam menanggani isu buli di sekolah.

"Malaysia perlu membina versi sendiri dengan menggabungkan elemen terbaik dunia, dan disesuaikan dengan realiti tempatan serta dipantau secara berterusan," katanya.

Maszlee berkata, lima langkah itu pernah cuba dilaksanakan melalui Laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019 untuk 2021, tetapi terhenti akibat perubahan kerajaan pada 2020.

KPM katanya perlu menubuhkan jawatankuasa pelaksanaan dalam 90 hari dan membentangkan Piagam Hak Murid di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

Pada 17 Julai lepas, pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah selepas dimasukkan ke hospital itu apabila dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai. - Bernama