Sabtu lalu, bekas guru, Mohd Fadli Salleh mengemas kini jumlah Tabung Kutipan Dana Kilat Cikgu Din menerusi akaun peribadi di Facebooknya.
Catat beliau, sumbangan orang ramai yang terkumpul setakat 26 Oktober lalu adalah lebih kurang RM36,000.
Dalam persetujuan asal, Cikgu Fadli berkata, sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada Cikgu Din dan selebihnya untuk projek amal Dana Kita (infaq beliau) atas nama isterinya, Nur Atiqah My Yusoff.
"Tapi aku rasa, Cikgu Din mesti perlu guna duit banyak, apatah lagi banyak benda (barangan) dah dia jual untuk tanggung kos sebelum ini. Rasa tak patut bagi RM10,000 sahaja. Maka semalam (pada Jumaat) kami terus transfer (pindah) RM20,000.
"Sumbangan masih masuk, insya-ALLAH kami akan tambah sumbangan pada Cikgu Din bila sumbangan atas ‘reference’ Cikgu Din terhenti.
"Terima kasih semua yang menyokong usaha ini. Cikgu Din wakilkan pada saya untuk ucap terima kasih yang tidak terhingga kepada semua,” maklumnya di Facebook.
Terdahulu, Sinar Bestari menyiarkan artikel tentang usaha dilakukan Cikgu Fadli yang melancarkan Tabung Kutipan Dana Kilat Cikgu Din bagi membantu guru itu yang sedang berdepan ujian kesihatan isteri kerana kanser.
Menurut Cikgu Fadli, kutipan akan dibuat melalui akaun rasmi Dana Kita dan sasaran kutipan adalah sebanyak RM10,000.
"Jika ada lebihan (kutipan), semuanya akan digunakan dalam setiap projek amal yang Dana Kita jalankan.
"Apa yang dilakukan ini adalah dengan niat sedekah pahala jariah itu sampai pada Puan Atiqah, isteri Cikgu Din.
"Moga asbab sedekah berkenaan, ALLAH kurniakan keajaiban seterusnya isteri beliau dapat pulih seperti sedia ada,” tulisnya sebelum ini.
Kepada yang ingin menyumbang, anda boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank, Pertubuhan Kebajikan Dana Kita 564221646925 dengan Reference: Infaq Cikgu Din