Kehilangan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, Kluang, Johor, Nurul Alya Farzana Zamri, 16, benar-benar merungsingkan seluruh ahli keluarganya.
Untuk memudahkan pencarian, satu laporan polis telah dibuat oleh mereka di Balai Polis Kluang, berhubung kehilangan Nurul Alya Farzana.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner, Bahrin Mohd Noh, remaja perempuan itu dilaporkan hilang di hadapan sekolah tersebut sejak Ahad lalu.
"Dia bertubuh kecil dan berkulit cerah serta berketinggian 140cm dengan berat badan 40 kilogram (kg).
"Siasatan juga mendapati remaja perempuan berkenaan tinggal di Taman Suria, Kluang di sini,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang (Pegawai Penyiasat: Inspektor Faisal Asyraf Anang) menerusi talian telefon pejabat: 07-7784222, talian terus: 07-7784256 hotline: 07-7766822 Tablet DCC: 014-365682.
Boleh juga menghubungi bapanya di talian 017-7908217 dan 018-9817600 (abang).
Terdahulu, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah tersebut, Nurul Alya Farzana dilihat memakai t-shirt karakter Johor atau t-shirt KrMJ semasa hilang.
Rakaman juga menunjukkan dia menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna perak pada jam 3.34 petang dan meninggalkan kawasan sekolah menghala ke arah bandar Kluang.
Bagaimanapun, pemandu dan nombor pendaftaran kereta berkenaan masih tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.