Pemain pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana perlu menggandakan usaha sekiranya berhasrat mencipta keputusan positif dalam penampilan sulung Piala Raja Muda Selangor kali ini selepas melangkah ke perlawanan akhir.
Malah menurut pengurus pasukan skuad Bawah 12 (B-12) SK Seri Pristana, Hasmizainudin Hassan, ini jelas ketara apabila skuad kendalian Mohd Zubaidi Mat Akhir bergelut menamatkan tentangan SK TUDM Subang lebih awal yang menyaksikan aksi diseret ke penentuan sepakan penalti.
"Alhamdulillah, syukur pasukan SK Seri Pristana berjaya mara ke perlawanan akhir pada penampilan pertama dalam Piala Raja Muda Selangor kali ini.
"Sejujurnya, pemain-pemain SK Seri Pristana berdepan kesukaran untuk menamatkan permainan lebih awal apabila beberapa peluang gagal disempurnakan pemain selain, kualiti permainan ditampilkan pasukan SK TUDM Subang
"Biarpun begitu, kami akan memanfaatkan masa yang ada untuk memperkemaskan semula bahagian tertentu pasukan khasnya jentera penyudah yang kurang memberi impak sebelum perlawanan akhir.
"Perkara yang akan diberikan perhatian adalah sudut mental pemain supaya lebih berdisiplin dan tidak hilang fokus,” katanya kepada Sukan Sinar.
SK Seri Pristana, Sungai Buloh mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan SK TUDM Subang, 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Padang SK Putra Height.
Kemenangan itu membolehkan sekolah dalam kawasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor berkenaan berdepan penyandang juara Seksyen 20, Shah Alam dalam perlawanan akhir.
SK Seksyen 20 yang juga juara Piala Sumbangsih mengesahkan slot final selepas menewaskan SK Bandar Baru Selayang 2, 2-0 dalam satu lagi aksi aksi separuh akhir di venue sama.
Saingan Piala Raja Muda Selangor edisi ke-35 menyaksikan penyertaan sebanyak 32 pasukan yang dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan dua pasukan teratas dalam kumpulan layak ke pusingan 16 terbaik, diikuti suku akhir, separuh akhir dan akhir.
Sebagai rekod, kejuaraan pembangunan bakat B-12 ini dibarakan penajaan daripada Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad dengan Sinar Harian sebagai media rasmi.
INFO
PIALA RAJA MUDA SELANGOR 2024: SK SERI PRISTANA (PPD KUALA SELANGOR)
PENGURUSAN
PENGURUS: HASMIZAINUDIN HASSAN
KETUA JURULATIH: MOHD ZUBAIDI MAT AKHIR
PENOLONG JURULATIH: MUHAMMAD MAHADI
JURULATIH PENJAGA GOL: ANJIRI BOLONG
FISIOTERAPI: MUHAMMAD HARITH RIDHWAN ABDUL TALIB
PEMAIN-PEMAIN
1. DARIS IRFAN MOHD FUAD
20. NUR AQIL HAKIM ABDUL NUR
7. MUHAMMAD SYAUQI MOHD ZAMRI
9. MUHAMMAD AMMAR AZRI
3. MUHAMMAD ADAM NAUFAL SHARIFFUDDIN
2. MUHAMMAD FAIQ MOHAMMAD RADZI
19. HUD HAFIZZY
10. MOHAMAD ARIFF SAIFUDDIN MOHAMAD AZMAN
14. KHAIRUNAS AULIA ASMAZAIDI
16. MUHAMMAD AFKAR SHAIRAN
18. MUHAMMAD HADIF AFIF MOHD SUFFIAN
8. ABID HARRAZ ASYRAF FITRI
6. AKIF QUATHAR NOR AZMI
5. MUHAMMAD FARRIEZ NAZARI
13. AKID RAZIN ABDUL RAZAK
12. MUHAMAD AKIF FIRDAN HAZA YUSDI
17. SYED QALEEF MIQAEL SYED MOHD FAISAL
15. MUHAMMAD FAZRIE NAZARI