Sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengenakan baju Melayu dan kurung sempena International Community Exchange Programme in Melbourne, Australia 2024 (ICX 2024) sekali gus menarik perhatian ramai.
Kesemua 15 pelajar dari Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS) itu menggayakan pakaian tradisional tersebut dalam satu program yang berlangsung selama tujuh hari.
Menurut Pegawai Psikologi Kanan selaku Penasihat Kelab PRS UMK, Nur Asyikah Azahari, ramai yang terpukau dengan keunikan baju tradisional itu.
"Sepanjang di sana pelajar terlibat diberi tugasan untuk mengenali budaya dan gaya hidup di negara yang dikenali sebagai pusat dunia di mana negara ini terdapat pelbagai bangsa dari seluruh dunia yang menjadi penduduk di Australia.
"Program julung kali dilaksanakan ini telah mendapat kerjasama baik dari Australian Defence Force School (DFSL) dan RMIT University, Melbourne bagi pelaksanaan program mobiliti pengantarabangsaan pelajar di luar negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pelajar juga diberi pendedahan berkenaan trend pekerjaan serta memperkukuhkan kemahiran insaniah dengan aktiviti yang dijalankan antaranya menyebarkan nilai-nilai positif kepada masyarakat, memperkenalkan modul-modul program yang dilaksanakan di UMK kepada pelajar Defense School.
Ujarnya, ia memberi manfaat kepada pelajar dalam mendalami dan memahami kepelbagaian aspek dari negara asing.