Kekecewaan Pengerusi Mara tentang isu buli, dera. 'Jika berlaku di IPMa Mara, You Touch You Go'

Iklan
Tiada kompromi dan saya tegaskan yang prinsip saya ‘You Touch You Go!’ (Awak Buli, Awak Dibuang!). - Asyraf Wajdi

"Kecewa dengan kes dera pelajar di IPTA ( institusi pengajian tinggi awam) sama berulang kali. Langsung tiada iktibar dengan kes lalu yang menyebabkan kematian. Jika berlaku di IPMa (Institusi Pendidikan Mara) Mara (Majlis Amanah Rakyat), pasti saya akan ambil tindakan paling tegas."

Demikian kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan
Iklan

Kenyataan itu merujuk kepada kejadian buli semakin menjadi-jadi di negara ini dengan yang terbaharu, seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM), Sungai Besi menjadi mangsa buli dan dera.

Difahamkan, mangsa yang mengikuti jurusan kejuruteraan dibuli dan didera penuntut senior dengan menekap seterika pada bahagian dada mangsa sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.

Iklan

Seterusnya, Asyraf Wajdi turut memaklumkan, jika berlaku (buli, dera) di mana-mana institusi pendidikan Mara termasuklah di MRSM, tiada sebarang kompromi untuk mereka.

"Sekali lagi, tiada kompromi dan saya tegaskan yang prinsip saya ‘You Touch You Go!’ (Awak Buli, Awak Dibuang!).

Iklan

"Tak perlu nak jumpa saya buat rayuan atau apa juga untuk raih simpati kerana sudah diperingatkan berulang kali,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya tampil memberi pandangan tersendiri berhubung isu buli dan dera itu.

Impian Laguna: Mohon tempatkan warden komando setiap asrama.

Noor Rahman: Betul Datuk. Seakan tiada sebarang tindakan tegas dari pihak pengurusan universiti. Pelik tapi benar kerana ia melibatkan keselamatan dan yang lebih utama adalah melibatkan nyawa. Para pelajar seperti tidak ambil kisah atau peduli dengan kesan daripada sikap buli mereka.

Norpipah Mohd Isa: Syabas Dr Asyraf, saya menyokong tindakan tuan kerana jika tidak dibendung akan mewujudkan insan yang kaki buli dan tidak berperikemanusiaan.

Fazlie Mohd Fadzil: Sungguh benar kecewa. Sekali mungkin khilaf, jika berulang maka dah jadi normalisasi yang menganggu masa untuk menjadi barah.

Mohd Shuhaimi: Terbaik Dr, pelajar yang rosak akhlak sebegini patut dikeluarkan dari pusat pendidikan Mara.

Nurul Amani: Saya setuju. Nak menjadi pelajar Mara memang perlu disiplin dan tunjukkan sikap yang baik. Di sekolah, tempat mencari ilmu dan budaya buli sudah tidak relevan lagi. Kepada semua pengetua dan guru-guru, anda juga harus tegas terhadap semua pelajar biarpun berbeza latar belakangnya.

Untuk info, IPMa terdiri daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), GiatMara, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII), Kolej MARA (KM) dan Kolej Profesional Mara (KPM).

Selain itu, IPMa juga mempunyai cabang swasta iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) (12 kampus), German Malaysia Institute (GMI), Kolej Poly- Tech MARA (KPTM) dan University Poly- Tech Malaysia (UPTM).