Kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyifatkan dua peperiksaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak lagi relevan mengundang polemik ramai pihak.
Ada bersetuju dengan apa yang diperkatakan Fadhlina itu.
Namun, terdapat sebilangan besar mempersoalkan kembali, mengapa Menteri Pendidikan berkata sedemikian terhadap peperiksaan itu sedangkan ia sudah sinonim dengan rakyat Malaysia.
Bekas guru, Mohd Fadli Salleh berkongsi pandangan peribadi beliau tentang perkara ini.
Biarpun tidak lagi bergelar pendidik, namun Mohd Fadli atau lebih dikenali Cikgu Fadli, sentiasa mengupas isu-isu semasa terutamanya berkaitan soal pendidikan.
Catatnya di Facebook pada Selasa, Cikgu Fadli memaklumkan, peperiksaan UPSR dan PT3 sentiasa relevan sampai bila-bila.
"UPSR adalah peperiksaan terbesar dan ia dijalankan dalam tahun terakhir peringkat sekolah rendah.
"Soalan UPSR meliputi semua topik yang dipelajari murid- murid semasa sekolah rendah bagi menilai sejauh mana kefahaman mereka sepanjang enam tahun bersekolah.
"Soalan pula berpusat dan selaras, disediakan oleh Lembaga Peperiksaan serta diperiksa barisan pemeriksa bukan guru. Keabsahannya, kredibiliti dan integriti tinggi. Soalan kategori sulit, setaraf dengan soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya di Facebook.
Sambung Cikgu Fadli, murid seluruh negara belajar subjek yang sama, buku teks dan silibus yang sama, maka sangat wajar semuanya menjawab satu soalan selaras serta berpusat.
"Berbanding Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dibina guru sekolah itu sendiri dan ditanda oleh mereka. Soalan seluruh negara tidak selaras. Keabsahan itu hilang. Kredibiliti boleh dipertikaikan. Integriti mungkin hilang.
"Jika dikatakan UPSR dan PT3 itu tidak lagi relevan, sepatutnya SPM juga tidak relevan. STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) juga. Dan peperiksaan di universiti dan kolej juga patutnya tidak relevan.
"Jika hujah 'hanya guru sekolah tersebut kenal murid mereka, jadi hanya mereka paling layak bina soalan untuk murid-murid', saya jawab guru-guru seluruh negara dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan universiti yang sama. Ilmu, pedagogi dan kelayakan mereka sama. Paling penting, seluruh negara belajar silibus yang sama, kenapa soalan perlu berbeza-beza?” tegas beliau.
Sambung guru yang mendapat gelaran ‘Cikgu Korea’ itu, dirinya menaruh harapan tinggi apabila kerajaan mengumumkan yang UASA akan setaraf dengan UPSR.
Namun, beliau hampa dengan UASA. Jauh beza dengan peperiksaan asal apatah lagi bermula tahun ini, soalan UASA disediakan guru sekolah itu sendiri dan tidak selaras seluruh negara.
"Segala yang dikongsi ini hanyalah komen peribadi saya sahaja.
"Kalian bebas nak bersetuju atau tidak. Tiada masalah berbeza pendapat,” akhiri catatan itu.