Mantan Pengarah Pendidikan Terengganu, Cikgu Razali Daud telah meninggal dunia pada Ahad, 17 November lalu.
Menerusi Facebook Qurratu Razali, beliau memaklumkan yang Allahyarham telah ‘pergi’ pada jam 7.45 pagi.
"Mohon doa dari semua. Halalkan makan minum. Maafkan segala salah silap arwah. Jika ada sebarang urusan arwah yang tidak selesai, boleh hubungi saya dan adik beradik saya. Terima kasih semua," catatnya yang merupakan anak perempuan kepada Cikgu Razali.
Meninjau ke ruangan komen, Sinar Bestari mendapati ramai kenalan dan sahabat handai serta komuniti merakamkan ucapan salam takziah atas pemergian tokoh hebat ini.
Tidak kurang juga, ada yang berkongsi keperibadian arwah sepanjang beliau berkhidmat dalam dunia pendidikan.
"Pengetua terbaik, tak lokek dengan senyuman, penuh dengan kata-kata nasihat dan nasihat paling bermakna adalah sayangi kedua ibu bapa, cium tangan mereka setiap kali nak ke sekolah, reda ibu bapa penting serta reda guru yang mendidik juga penting. Salam takziah buat keluarga Cikgu Razali," ujar Seratun Nisa.
"Sesungguhnya kita milik ALLAH dan kepadaNya kita kembali. Al-Fatihah buat cikgu," maklum Iskandar Ali.
"Innalillahi wa inna Ilaihi Raji'un. Salam takziah mantan Pengarah Pendidikan Terengganu yang sangat penuh dengan makna dalam setiap kata-kata," catat Zuera Burn.
"Semoga roh arwah di cucuri rahmat dan berada bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. Salam takziah," kata Razaly Mahmud.
"Ya ALLAH, ampunilah dia, rahmati dia, muliakan kematian dia, permudahkan segala urusannya, lapangkan kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya. Semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," beritahu Emy Emylia.