19 tahun dalam dunia pendidikan akhirnya Cikgu Neermala rangkul Guru Terbaik 2024 di Bangkok!

Iklan
Cikgu Neermala merupakan guru yang gigih dan berdedikasi sepanjang 19 tahun berkecimpung dalam dunia pendidikan.

Guru prasekolah dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Lurah Bilut, Pahang, Neermala Doraisamy, 43, dianugerahkan Guru Terbaik 2024 kategori Pendidikan Prasekolah dalam majlis Asian Education Awards 2024 di Bangkok, Thailand pada Sabtu.

Beliau yang telah 19 tahun mencurah bakti dalam dunia pendidikan, merupakan seorang guru yang gigih dan berdedikasi.

Iklan
Iklan

Pengalaman luas mendidik generasi muda membuktikan keikhlasan beliau dalam mencorak masa depan anak bangsa.

Cikgu Neermala meluahkan rasa syukur atas penganugerahan yang diberikan Asia Education Conclave (AEC).

Iklan

"Saya berbesar hati menerima anugerah Guru Terbaik 2024 kategori Pendidikan Prasekolah daripada AEC.

"Platform ini menyatukan para pendidik dari seluruh dunia dan menonjolkan peranan penting kami sebagai guru dalam membentuk masa depan.

Iklan

"Saya bersyukur kepada Tuhan atas rahmat, petunjuk dan peluang yang diberikan. Sesungguhnya, diri ini sangat gembira kerana dapat berdiri sebaris dengan pendidik dan pemimpin yang berdedikasi dalam bidang masing-masing,” kata Cikgu Neermala.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Temerloh, Pahang ini berkata, sudah 14 tahun dirinya mengajar peringkat prasekolah di mana murid-muridnya berumur lima dan enam tahun.

"Saya mengajar berdasarkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dan anugerah diterima bukti kepada usaha kolektif semua pihak yang bekerja keras meningkatkan pendidikan awal kanak-kanak.

"Justeru, saya berhasrat untuk terus memberikan impak positif dalam pendidikan di peringkat ini,” ujarnya.

Sementara itu, Cikgu Neermala merakam penghargaan dan ucapan terima kasih kepada suami tercinta, Youva Raj, ahli keluarga, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bentong, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pentadbir dan rakan-rakan sekerja di SJKT Lurah Bilut kerana sentiasa memberi sokongan, dorongan dan bantuan yang tidak pernah pudar untuknya meneruskan perjuangan.