Dua pensyarah Universiti KPJ Healthcare (KPJU), Profesor Ts Dr Norhayati Mohd Zain dan Nur Anis Izzati Che Mut, berjaya membangunkan sebuah aplikasi pembelajaran tentang kesihatan payudara.
Aplikasi ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat khususnya wanita di Malaysia tentang kanser payudara, faktor risiko, kaedah pengesanan awal dan kepentingan melakukan saringan kanser payudara secara berkala.
Aplikasi yang dibangunkan dengan pilihan dwi-bahasa, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ini menyediakan maklumat dalam bentuk video pendidikan dan infografik yang mudah diakses dan difahami oleh masyarakat.
Pendekatan pembelajaran secara interaktif menerusi aplikasi ini dapat memberikan pengalaman yang lebih bermakna dan berkesan terhadap pengguna merangkumi pelbagai peringkat umur.
"Di Malaysia, pelbagai program serta kempen telah dilakukan untuk menyedarkan wanita tentang pentingnya menjalani pemeriksaan mamogram sebagai pengesanan awal kanser payudara.
"Namun, kurangnya pengetahuan mengenai bagaimana prosedur dijalankan menyebabkan ramai wanita berasa cemas dan tidak selesa untuk menjalani pemeriksaan tersebut.
"Ini boleh menyebabkan mereka mengelak daripada menjalani saringan, yang mungkin akan melambatkan pengesanan kanser payudara” ujar Norhayati kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.
Kongsi Norhayati, video pendidikan prosedur mamogram dwi-bahasa berdurasi kurang dari dua minit itu turut dimuatkan dalam aplikasi ini.
"Pengguna boleh melihat penerangan terperinci secara lakonan tentang setiap langkah yang terlibat dengan menunjukkan gambaran keseluruhan bilik prosedur, rupa bentuk mesin mamogram dan bagaimana mamogram dilakukan.
"Ia bermatlamat mendidik serta mempersiapkan wanita untuk prosedur tersebut dengan menyediakan maklumat yang jelas dan komprehensif mengenai mamogram, termasuk apa yang dijangka dan cara-cara untuk bersedia sebelum, semasa dan selepas mamogram dilakukan," katanya.
Untuk rekod, pelbagai informasi penting lain turut dimuatkan dalam aplikasi ini seperti video panduan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP), video pemeriksaan ultrabunyi payudara dan video pengimejan resonans magnet (MRI) payudara. Elemen-elemen visual dan interaktif dalam aplikasi ini menjadikannya unik dan berbeza.
"Kebanyakkan wanita yang terlibat menggunakan aplikasi ini pada peringkat validasi memberikan maklumbalas yang positif serta memberangsangkan terhadap kebolehannya,” tambah Norhayati.
Sementara itu, Naib Canselor KPJU, Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim berkata, inovasi yang dibangunkan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.
"Ia sejajar dengan pendekatan Society 5.0 dimana diterapkan gabungan teknologi dalam menyediakan produk yang disesuaikan dengan keperluan individu yang berbeza-beza dalam industri kesihatan bagi mewujudkan masyarakat yang berpusatkan manusia (human-centered society)," katanya.
Lokman turut menyatakan bahawa projek inovasi itu berjaya mendapat kelulusan perlindungan harta intelek (Hak Cipta) daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia, MyIPO, berdasarkan keunikannya.
"Selain itu, ia memperoleh pingat perak menerusi pertandingan Invention, Innovation & Design (iidex) yang dianjurkan oleh UiTM Cawangan Selangor baru-baru ini," kongsi beliau.