Hak pendidikan selayaknya buat kanak-kanak

Iklan
Mazlina (tengah) bergambar kenangan bersama murid-murid SK Jalan Kebun.

Misi Hari Kanak-Kanak meningkat kesedaran hak masa depan generasi muda

Dasar Kanak-Kanak Negara jelas menyatakan bahawa generasi baharu ini sebahagian daripada masyarakat yang amat penting sebagai aset negara dan menjadi penyambung nadi pembangunan pada masa hadapan.

Justeru, kumpulan ini perlu diberi dan mendapat hak yang selayaknya terutama dalam aspek pendidikan.

Iklan
Iklan

Menurut Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun, Shah Alam Selangor, Mazlina Su, pendidikan antara elemen penting yang perlu diberi kepada golongan ini seawal usia lima tahun sehingga mereka mencecah 17 tahun.

Kongsi Mazlina, kanak-kanak juga perlu mendapat pendidikan yang betul di sekolah.

Iklan

Ia demi memastikan mereka dibimbing bukan sahaja dari sudut akademik tetapi melibatkan perkembangan kognitif dan fizikal.

"Pihak sekolah sendiri cakna dan sedia maklum sekiranya terdapat sesetengah ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak ke sekolah akan dikenakan tindakan.

Iklan

"Ia demi memastikan anak-anak ini mendapatkan hak mereka untuk belajar, seterusnya membentuk perkembangan positif demi masa depan yang lebih cerah,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Sekolah, baru-baru ini.

MAZLINA

Keciciran pelajar

Mengulas lanjut mengenai isu kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan selayaknya, Mazlina menyatakan rasa kecewa kerana baginya keciciran pembelajaran adalah satu bentuk penindasan terhadap golongan ini.

Ujarnya, persekolahan adalah satu tempoh paling menggembirakan dan sepatutnya, kanak-kanak diberi peluang untuk merasai keseronokan itu.

"Keciciran pelajar tidak sepatutnya berlaku kerana selain belajar, di sekolah kanak-kanak juga dilatih dalam aspek komunikasi serta sosial.

"Kanak-kanak yang kita panggil sebagai pelajar atau murid ini, melalui perkembangan fizikal dan kognitif, menjadikan mereka tidak hanya cemerlang dari sudut akademik tetapi mahir dalam berkomunikasi.

"Sebagai ibu bapa dan guru-guru, perkara seumpama ini kita perlu ambil maklum dan cakna demi menjaga hak kanak-kanak,” katanya.

BERSEMANGAT... Murid-murid SK Jalan Kebun, Selangor mempamerkan bakat tarian sewaktu sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Sekolah, baru-baru ini.

Cungkil bakat

Ibu bapa juga perlu mendokong minat serta hobi anak-anak.

Meskipun ia melibatkan masa dan kos, namun kata Mazlina, ibu bapa perlu bertindak sebagai orang utama dalam memberi sokongan jitu demi perkembangan anak-anak.

"Beri mereka peluang mencari minat masing-masing. Contohnya, sekiranya minat si anak ke arah sukan bola sepak, ibu bapa perlu memberi sokongan dan menunjukkan arah jalan untuk dikembangkan lagi kemahiran itu.

"Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa atau golongan dewasa memastikan anak-anak ini diberi pendidikan dan dicungkil bakat,” katanya.

Sementara itu, sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Sekolah SK Jalan Kebun 2024, disambut meriah dengan bertemakan retro bertujuan mengembalikan nostalgia lama.

Beritahu Mazlina, pemilihan tema itu bagi mendedahkan kepada murid-murid generasi kini tentang kemeriahan zaman retro selain mempunyai keunikan yang tersendiri.

"Tahun lepas, tema animasi dan tahun ini tema retro. Murid-murid dilihat sangat teruja memakai pakaian mengikut tema dan semuanya memang cantik serta segak belaka.

"Jika Hari Guru kita raikan guru, maka Hari Kanak-Kanak Sedunia ini kita raikan mereka dengan jamuan yang ditaja sepenuhnya oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah,” katanya.

AZMIRUDIN

Sekolah tempat tepat asuh, timba ilmu, bina sahsiah murid

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Jalan Kebun, Azmirudin Mohd Yunus berkata, tindakan sesetengah ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah dianggap sebagai satu tindakan yang mengecewakan.

Tuturnya, selain mendidik, sekolah juga tempat kanak-kanak dibentuk dengan didikan adab dan sahsiah diri.

"Mungkin dari segi akademik murid itu cemerlang tetapi sekiranya tidak berhasil dari segi sahsiah, kita sebenarnya gagal melahirkan jati diri seorang insan dalam kehidupan anak-anak.

"Justeru, guru-guru memainkan peranan penting dalam membentuk dan memimpin murid yang melibatkan semua perkara sama ada akademik mahupun adab,” katanya.

Tegas Azmirudin, di sekolah juga anak-anak ini didedahkan tentang kemahiran bersosial dan yang paling utama skil menyelesaikan masalah.

"Kalau anak-anak tidak berekolah, mungkin dari sudut sosial itu kurang dan akan mencetuskan beberapa masalah negatif yang lain.

"Oleh itu, ditegaskan kepada ibu bapa mahupun penjaga untuk berikan hak pendidikan selayaknya kepada anak-anak.

"Bersempena dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia ini, marilah sama-sama kita memupuk kesedaran bahawa mereka juga antara golongan penting terutamanya demi masa depan negara,” katanya.