Sebanyak 16 buah sekolah menengah dari daerah Johor Bahru telah menyertai Program IoT Hackathon Menggunakan TinkerKit yang dianjurkan oleh STEM-RBTK dan diadakan di Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Program ini ditaja oleh IEEE Electron Devices Society (IEEE EDS) dan berlangsung pada 24 dan 25 November 2024.
Menurut Penyelaras Akademik, Jabatan Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (ECE), Dr Mohd Azhar Abdul Razak, tujuan utama program itu adalah untuk memberi pendedahan mendalam kepada pelajar mengenai konsep Internet of Things (IoT).
"Kita juga ingin mengasah kemahiran dan pemikiran inovatif mereka dalam bidang kejuruteraan dan teknologi yang terus berkembang pesat di era digital ini,” katanya lagi.
Program ini dimulakan dengan sesi taklimat yang memperkenalkan konsep asas IoT dan aplikasinya dalam kehidupan seharian.
Para peserta diberi pengetahuan tentang penggunaan sensor, peranti pintar dan teknologi komunikasi dalam membangunkan sistem IoT yang berfungsi untuk meningkatkan kualiti hidup.
Selain itu, mereka didedahkan kepada kecerdasan buatan (AI) yang digunakan untuk menganalisis data yang dikumpulkan oleh peranti IoT dan membantu dalam membuat keputusan automatik bagi meningkatkan kecekapan sistem.
Selain itu, peserta juga mempelajari kepentingan Database dalam menyimpan dan menganalisis data besar yang dihasilkan oleh sistem IoT, serta bagaimana integrasi teknologi ini dapat memperbaiki prestasi sistem secara keseluruhan.
Peserta turut diberi pendedahan tentang cara menggunakan TinkerKit, sebuah platform pembangunan IoT, bagi membina projek mini mereka sendiri yang menggabungkan IoT, AI, dan Database.
Dalam sesi praktikal, guru dan pelajar diajar bagaimana untuk merancang dan membangunkan projek yang kreatif dan inovatif yang mengintegrasikan teknologi-teknologi terkini.
Setiap sekolah diminta untuk membangunkan projek mini IoT yang mencabar para pelajar untuk merancang dan menghasilkan sistem IoT yang inovatif. Projek-projek ini dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada pensyarah berpengalaman dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan inovasi.
Penilaian dilakukan berdasarkan kriteria seperti kreativiti, fungsi, keberkesanan penyelesaian masalah serta penggunaan teknologi yang tepat.
Para juri turut memberi perhatian kepada keaslian idea, kualiti teknikal, dan bagaimana elemen AI dan Database dapat meningkatkan keberkesanan projek tersebut.
Pada akhir pertandingan, 5 hadiah disampaikan kepada pemenang.
Anugerah Kecemerlangan Inovasi telah dimenangi oleh Maktab Sultan Abu Bakar, manakala Anugerah Inovasi Terbaik dianugerahkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, SMK Agama Bandar Penawar, SMK Permas Jaya dan SMK Mutiara Rini.
Kesemua projek yang dipertandingkan menunjukkan tahap kecemerlangan yang amat mengagumkan dengan penggunaan teknologi IoT, AI dan Database yang sangat kreatif dan inovatif.
"Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari teknologi terkini seperti IoT, AI, dan pangkalan data (database), tetapi membekalkan mereka dengan kemahiran teknikal yang amat penting dalam dunia moden yang semakin bergantung kepada inovasi dan teknologi.
"Adalah diharapkan program ini akan terus menjadi platform yang mendorong pelajar untuk menghasilkan lebih banyak idea dan projek inovatif pada masa hadapan,” kata Mohd Azhar lagi.