Trak-trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkapasiti tujuh, lima dan tiga tan telah diatur gerak ke tiga negeri teruk terjejas banjir bagi membawa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke asrama dan pusat peperiksaan sejak semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, ia bagi memastikan calon-calon di Kelantan, Terengganu dan Kedah boleh berada di pusat peperiksaan pada waktu ditetapkan.
"Saya mengambil keputusan ini kerana Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah meminta supaya mereka ini (calon) diangkut dengan trak ATM, ini telah diaturkan sejak semalam ke ketiga-tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah," katanya pada sidang media selepas merasmikan program One Stop Centre Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Bagan Datuk.
Ahmad Zahid berkata, terdapat 3,011 calon di Kelantan, 1,734 di Terengganu dan 532 di Kedah yang akan menduduki peperiksaan itu mulai esok.
Sementara itu, katanya terdapat 174 sekolah di seluruh negara yang terjejas akibat banjir dengan Kelantan paling tinggi jumlah terjejas iaitu 80 sekolah.
Di Terengganu, sebanyak 62 sekolah terjejas manakala 14 sekolah di Kedah turut terjejas akibat bencana itu.
Beliau berkata, sebanyak 396 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan sekolah telah dibuka di seluruh negara setakat ini.
Menyentuh mengenai Bantuan Wang Ihsan RM1,000 untuk ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir, Ahmad Zahid berkata, setakat ini sebanyak 43,000 KIR dikenal pasti layak menerima bantuan berkenaan membabitkan peruntukan RM4.3 juta.
Beliau berkata walaupun sebelum ini syarat untuk mendapat bantuan itu ialah hanya mangsa yang berpindah ke PPS berdaftar layak mendapatnya, atas keprihatinan kerajaan, mangsa yang berpindah ke PPS baru dibuka juga diberikan bantuan berkenaan.
Bantuan berkenaan, katanya telah mula diagih sejak semalam secara berperingkat. - Bernama