"Setelah koma hampir tiga bulan, Alhamdulillah Amirul sudah mula membuka mata dan mengenali saya ibunya serta adik beradiknya yang lain. Malah dia juga kini sudah mampu melakukan pergerakan fizikal.”
Itulah luahan gembira seorang ibu, Wan Murni Wan Ngah apabila anak, Muhammad Amirul Nazmi Sam yang merupakan pelajar cemerlang tajaan Petronas sudah mula menunjukkan perkembangan positif selepas disahkan mengalami saluran darah otak pecah pada 18 Disember tahun lalu sehingga mengakibatkan dirinya terlantar koma.
Kejayaan cemerlang Muhammad Amirul dengan memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 9A telah melayakkan dirinya menerima penajaan pendidikan Petronas melalui Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP).
Menurut Wan Murni, anaknya dijadualkan menamatkan pengajian A-Level di salah sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur pada Mac lalu sebelum melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK) pada Jun.
"Walaupun perlu menangguh dahulu pengajian disebabkan masalah kesihatan yang dialami Amirul namun kini dia sudah mula menunjukkan perkembangan positif.
"Kini saluran tiub pernafasan dan tiub menyalurkan makanan sudah dibuang kerana dia mampu makan dan bernafas seperti biasa.
"Alhamdulillah berkat usaha yang berterusan ini membuahkan hasil melihat kepada banyak perkembangannya yang sudah berubah,” katanya.
Tambah Wan Murni, meskipun masih tidak sempurna tetapi anaknya itu sudah boleh memberi isyarat jari sekiranya ditanya mengenai sesuatu dan memberi tindak balas apabila mendengar percakapan ahli keluarga.
Sementara itu, beliau berkata, anaknya kini masih menerima rawatan susulan daripada Hospital Hulu Terengganu (HHT) selain dijadualkan temu janji bersama pakar pada bulan ini.
"Saya berharap agar Amirul kembali pulih seperti sedia kala dan berterima kasih kepada pihak Petronas, kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahrah (HSNZ) Kuala Terenggau, HHT dan ahli keluarga yang banyak membantu meringankan beban ketika Amirul diuji dengan masalah kesihatan,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, pencapaian cemerlang Muhammad Amirul dalam peperiksaan SPM tahun 2021 sehingga melayakkan dirinya melanjutkan pengajian di UK dalam bidang Teknologi Maklumat (IT).
Dia yang bersekolah di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu itu dikenali sebagai seorang yang pemalu dan menyimpan cita-cita untuk menjadi pakar dalam bidang IT sebaik sahaja tamat pengajian kelak.