Sinar Bestari sebelum ini melaporkan seorang murid perempuan berusia 12 tahun, Dhiya Azzahra Muhamad Alhalifi didapati hilang selepas keluar dari rumah di Seksyen U3, Shah Alam, Selangor pada Sabtu.
Susulan kehilangan murid tersebut, orang ramai mula memberi kerjasama dengan menularkan kejadian berkenaan di laman sosial masing-masing.
Bagaimanapun, dengan kuasa ALLAH SWT, murid ini akhirnya berjaya ditemui pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kanak-kanak tersebut pulang ke rumah dalam keadaan selamat sekitar jam 10.45 malam pada Ahad.
"Polis menerima laporan daripada seorang individu berkaitan kehilangan anaknya kira-kira jam 7.40 petang pada Sabtu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.