Seorang murid sebuah maahad tahfiz di sini maut selepas motosikal yang dinaiki bersama bapanya terbabas melanggar penghadang jalan sebelum dirempuh kereta dalam kejadian di Kilometer 2, Jalan Temerloh-Mentakab pada Rabu.
Dalam kemalangan kira-kira jam 2.20 petang itu, mangsa, warga Indonesia, Nur Yuuna Aqilah, 9, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, bapa mangsa, Syafriyandi Ismail, 55, yang merupakan seorang pemastautin hanya mengalami cedera ringan.
Menurutnya, bagaimanapun lelaki itu terpaksa dihantar dan menerima rawatan di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) selepas mengalami serangan jantung.
"Pemandu kereta berusia 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda Beat dan kereta Perodua Bezza.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa dua beranak terbabit dalam perjalanan menghala ke arah bandar Mentakab sebelum terbabas, melanggar penghadang di tengah jalan dan terjatuh di laluan bertentangan.
"Pada masa sama, kereta dipandu penuntut sebuah universiti dalam perjalanan menghala ke arah bandar Temerloh tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa," katanya.
Mohd Nasyim berkata, akibat kemalangan tersebut, kanak-kanak perempuan terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.