Modal insan merupakan nadi utama dalam pembangunan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.
Istilah ini merujuk kepada keupayaan tenaga kerja yang berilmu, berkemahiran dan berintegriti dalam memastikan kemajuan sesebuah negara.
Kepentingannya semakin menyerlah dalam era globalisasi dan Revolusi Industri 4.0 yang menunjukkan kemajuan teknologi serta persaingan global mewujudkan keperluan mendesak untuk sumber manusia yang berkualiti tinggi.
Bak kata peribahasa, alah bisa tegal biasa, kejayaan ekonomi tidak akan terhasil tanpa usaha gigih membangunkan modal insan.
Maka, sektor kerajaan dan swasta serta masyarakat perlu berganding bahu untuk menjadikan pembangunan modal insan sebagai agenda utama demi kemakmuran ekonomi negara.
Salah satu kepentingan utama modal insan adalah peranannya dalam meningkatkan produktiviti ekonomi.
Pertamanya, produktiviti yang tinggi membolehkan sesebuah negara menghasilkan lebih banyak output dengan sumber yang minimum sekali gus menjimatkan kos dan meningkatkan daya saing.
Sebagai contoh, negara seperti Jepun memanfaatkan modal insan yang berkualiti melalui pendidikan yang menekankan inovasi dan disiplin kerja.
Mereka menghasilkan produk berkualiti tinggi seperti kenderaan dan elektronik yang mendominasi pasaran global.
Hasilnya, ekonomi negara itu berkembang pesat meskipun berdepan kekangan sumber asli.
Oleh itu, seperti kata pepatah yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, maka usaha gigih dalam melatih dan mendidik tenaga kerja adalah kunci kepada kejayaan ekonomi.
Dalam konteks ini, Malaysia perlu terus memperkukuhkan sistem pendidikan dan latihan kemahiran bagi meningkatkan produktiviti nasional.
Modal insan juga menjadi pemangkin kepada inovasi dan teknologi, terutamanya dalam era Revolusi Industri 4.0.
Dalam dunia yang pantas berubah, negara yang gagal menguasai teknologi baharu akan ketinggalan.
Sebagai contoh, Singapura terus memberi fokus kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang melahirkan pakar teknologi mampu mencipta serta menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.
Hasilnya, syarikat gergasi seperti Google dan Facebook berjaya menjadikan Singapura hab utama mereka di Asia Tenggara.
Bak kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, membuktikan Singapura boleh menghasilkan pelaburan dalam modal insan yang membuahkan hasil luar biasa.
Justeru, Malaysia juga perlu memperkukuhkan sistem pendidikan berkenaan untuk melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat global.
Selain itu, modal insan berkualiti tinggi menjadi faktor utama dalam menarik pelaburan asing.
Pelaburan asing membawa masuk modal kewangan, teknologi dan kepakaran yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Syarikat antarabangsa lebih cenderung memilih negara yang memiliki tenaga kerja mahir dan inovatif untuk mengurangkan risiko operasi mereka.
Contohnya, China telah menjadi destinasi pelaburan utama melalui pelaburan dalam pendidikan dan latihan kemahiran tenaga kerja.
Hasilnya, syarikat-syarikat global seperti Tesla dan Apple menubuhkan kilang di negara tersebut sekali gus mampu memperkukuhkan ekonominya.
Ungkapan seperti, tenaga kerja mahir adalah magnet ekonomi yang menegaskan betapa pentingnya modal insan dalam menarik pelaburan asing.
Oleh itu, Malaysia perlu memastikan tenaga kerja memenuhi standard global untuk meningkatkan daya tarikan kepada pelabur.
Modal insan juga membantu mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.
Ketidakseimbangan boleh menyebabkan jurang pendapatan yang besar dan menjejaskan kestabilan sosial.
Dengan menyediakan pendidikan dan latihan kemahiran kepada masyarakat luar bandar, peluang pekerjaan dapat ditingkatkan sekaligus mengurangkan penghijrahan ke bandar.
Latihan pertanian moden di Indonesia telah meningkatkan hasil dan pendapatan petani di kawasan luar bandar.
Akibatnya, masyarakat luar bandar menjadi lebih berdikari dan jurang ekonomi semakin rapat.
Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat menunjukkan kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama dalam membangunkan modal insan dapat membawa keseimbangan ekonomi.
Oleh itu, Malaysia perlu memperluaskan program pembangunan modal insan ke kawasan pedalaman untuk pembangunan yang inklusif.
Ekonomi berteraskan pengetahuan memerlukan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi dan mahir.
Ia mampu mencipta nilai tambah yang tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor tradisional.
Sebagai contoh, Finland telah melabur besar dalam pendidikan dan penyelidikan, menghasilkan syarikat seperti Nokia yang menjadi ikon teknologi global.
Kesan daripada langkah ini ialah negara itu kini menjadi antara negara paling inovatif di dunia.
Bak kata pepatah, ilmu itu pelita hidup, pengetahuan yang dimiliki oleh modal insan adalah asas kepada kemajuan sesebuah negara.
Oleh itu, Malaysia perlu mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi berteraskan pengetahuan untuk kekal kompetitif.
Modal insan juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan keusahawanan.
Ia turut mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan mempelbagaikan ekonomi negara.
Individu yang berpendidikan tinggi dan kreatif cenderung menjadi usahawan yang inovatif.
Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS), modal insan seperti Elon Musk dan Jeff Bezos menggunakan kepakaran mereka untuk membangunkan syarikat gergasi seperti Tesla serta Amazon.
Kesan daripada usaha mereka ialah ekonomi AS terus berkembang dengan penciptaan pekerjaan baharu dan kemajuan teknologi.
Bak kata pepatah, berkayuh sambil bertimba, usaha membangunkan modal insan bukan sahaja membawa manfaat kepada individu, tetapi juga menyumbang kepada ekonomi negara.
Oleh itu, Malaysia perlu menggalakkan budaya keusahawanan melalui pendidikan dan latihan khas.
Akhir sekali, modal insan yang berkualiti tinggi meningkatkan daya tahan ekonomi negara.
Dalam situasi krisis seperti pandemik COVID-19, negara yang mempunyai modal insan cekap lebih cepat pulih daripada kemelesetan ekonomi.
Sebagai contoh, Korea Selatan berjaya mengekalkan kestabilan ekonominya kerana tenaga kerja mereka pantas menyesuaikan diri dengan perubahan, terutamanya dalam sektor teknologi.
Akibatnya, negara itu bukan sahaja berjaya mengatasi krisis, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai ekonomi terkemuka.
Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan membuktikan modal insan yang berkualiti adalah persediaan terbaik untuk menghadapi cabaran masa depan.
Oleh itu, Malaysia perlu melabur dalam modal insan yang mampu menghadapi cabaran global dengan cekap.
Sebagai kesimpulan, jika tidak diacu, manakan pisau tajam menunjukkan modal insan adalah aset paling bernilai dalam pembangunan ekonomi.
Peranannya dalam meningkatkan produktiviti, mendorong inovasi, menarik pelaburan asing, mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi, menyokong ekonomi berteraskan pengetahuan, menggalakkan keusahawanan, dan meningkatkan daya tahan ekonomi tidak dapat disangkal lagi.
Dalam era globalisasi yang serba mencabar, pelaburan dalam pendidikan, latihan kemahiran, dan inovasi perlu dijadikan keutamaan.
Bak kata pepatah, manusia adalah harta yang tidak ternilai, jelaslah bahawa kejayaan sesebuah negara bergantung kepada kualiti modal insannya.
Dengan strategi yang bijaksana, Malaysia bukan sahaja mampu menjadi negara maju, tetapi juga contoh kepada dunia dalam membangunkan modal insan yang unggul.
Maklumat Penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Aliff Haikal Dzulkafli
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli.
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my