Video yang dimuat naik seorang guru dikenali sebagai Cikgu Saidi Yusof dari Marang, Terengganu baru-baru ini, telah mengundang sebak orang ramai.
Isi kandungan video yang memaparkan seorang murid lelaki memakai seluar sekolah lusuh dan senteng serta gelagatnya menyarungkan seragam sekolah baharu hasil sumbangan orang ramai, membuatkan ramai warga maya menitiskan air mata saat melihat perkongsian tersebut.
Menerusi catatan dibuat Cikgu Saidi di Facebooknya, beliau memaklumkan yang murid itu adalah anak didiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jejulong.
"Sejak memasuki alam persekolahan tiga tahun yang lalu, dia tinggal bersama nenek dan seorang kakak. Apa yang ada hanyalah seadanya.
"Kami (cikgu) bukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjaga kebajikan di luar sana, kami bukan polis untuk menyelesaikan konflik yang melanda.
"Dalam hal ini tugas kami hanyalah ingin ‘Kembalikan Senyuman’ kepada anak murid yang memerlukan bantuan dan sokongan. Terima kasih kepada orang-orang baik di luar sana yang sentiasa menghulurkan bantuan dan memberi kepercayaan untuk kami uruskan. Kecil bagi kita tapi sangat besar pada mereka yang sangat memerlukan,” tulisnya.
Di ruangan komentar Facebook guru berkenaan, pelbagai pandangan diberikan warga maya terhadap kisah tersebut.
Seperti kata Illa Missacikila: Terima kasih cikgu. Terpancar senyuman bahagia di wajah anak itu. Moga cikgu sihat selalu & sentiasa dilimpahkan rezeki seluas lautan.
Begitu juga dengan Choklat TeadyBear: Cikgu, mata masuk habuk ni. Semoga dipermudahkn segala urusan cikgu dan anak-anak didik.
Seorang lagi warga maya, Haslindawahidah Hasan menulis: Alhamdulillah senyum saya tengok. Terima kasih cikgu prihatin dan berkongsi rezeki dengan anak murid. Tidak terbalas jasa cikgu. Semoga diluaskan lagi rezeki dan dilindungi ALLAH SWT.
Seterusnya, warganet dikenali Nurul Murni membuat catatan: Lawa dah baju. Belajar sungguh-sungguh anak. Awak akan jadi orang hebat nanti dengan ilmu.