'Keberkatan doa dari ibu bapa dan itulah rahsianya...' - Qariah Malaysia, Farhatul Fairuzah kongsi cerita

Iklan
Farhatul Fairuzah dikenali ramai selepas menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun 2019.

Baru-baru ini, johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut, 24, telah melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya, Mohammad Ilham Amri.

Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan oleh abang pengantin perempuan yang turut disiarkan secara langsung di TikTok.

Iklan
Iklan

Wanita jelita yang mesra dengan panggilan Farhatul Fairuzah, mula tular selepas menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun 2019.

Sejak itu, masyarakat bagaikan tidak sabar untuk mengetahui rahsia alumni Sekolah Menengah Agama Perempuan Labu, Negeri Sembilan itu mendalami bacaan al-Quran.

Iklan

Memetik perkongsian dalam Edisi MAIS dan portal tempatan, Farhatul Fairuzah mula belajar al-Quran dan taranum pada usia 5 tahun serta menyertai pertandingan tilawah di usia 7 tahun.

"Arwah ayah, Panut Markum dan ibu, Jaliah Simin merupakan qari dan qariah.

Iklan

"Daripada situ, tercetusnya keinginan ingin mendalami al-Quran dengan sebaiknya.

"Saya mengamalkan membaca al-Quran setiap kali selesai solat fardu selain mengelak minuman berais, makanan berminyak dan terlalu pedas untuk menjaga suara sebelum menyertai pertandingan,” kata anak kelahiran Klang, Selangor.

Mengulas lanjut mengenai seni taranum, anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dirinya sudah menguasai tujuh jenis taranum yang diajarkan berdasarkan silibus direka sendiri oleh ibu.

"Antara taranum yang saya gemari ialah Nahawand, Rast, Hijaz, Bayyati, Soba, Jiharkah dan Sikah.

"Walaupun sudah mempelajari seni taranum ini, saya sentiasa berusaha memperbaiki bacaan supaya lebih sempurna,” ujarnya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, segala yang diraih pada hari ini memerlukan banyak pengorbanan.

"Untuk capai sesuatu anugerah, ia bukan perkara mudah. Kena banyak bersabar, berusaha dan tawakal kepada ALLAH.

"Yang paling penting adalah keberkatan doa dari ibu bapa kita dan itulah rahsianya. Sebagai anak, kita perlu berdoa dan minta doa daripada mereka untuk berjaya dunia dan akhirat,” tuturnya yang meminati penyanyi lagu Arab, pencipta lagu dan aktres popular Mesir, Umm Kulthum yang terkenal dengan lagu klasik Arab sejak 1920 sehingga 1970-an.