"ALLAH...ampunilah anak pelajarku ini, tempatkan dia dalam syurgamu yang indah,” kata Sue Haily dalam Facebook Ipgm Kampus Sultan Mizan - Rasmi pada Rabu.
Titipan doa itu dibuat susulan pemergian penuntut Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu, Nurul Alya Fatnin Mohd Mawardzi, 22, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, juga pada hari yang sama (Rabu).
Allahyarham Nurul Alya Fatnin bersama tiga lagi rakannya, menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 telah dirempuh treler dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.45 pagi.
Hanya Nurul Alya Fatnin yang meninggal dunia manakala rakan-rakannya itu mengalami kecederaan.
Selain Proton X50, turut terlibat dalam tragedi menyedihkan itu adalah kumpulan pelajar dari IPG yang sama, masing-masing menaiki dua buah Perodua Axia dan Proton Saga.
Difahamkan, mereka baru sahaja pulang dari lawatan di Indonesia dan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke IPG Kampus Sultan Mizan.
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, pihaknya menerima pemakluman terdapat kemalangan maut di kilometer 16 di jalan berkenaan.
"Siasatan awal mendapati sebuah treler dipandu lelaki berumur 28 tahun dari Kuala Lipis, Pahang menghala ke Gua Musang, Kelantan telah hilang kawalan dan melanggar sisi kanan kedua-dua kereta Perodua Axia, Proton Saga dan Proton X50 yang berada di bahu kiri jalan.
"Akibat perlanggaran itu, pemandu Proton X50 cedera di bahagian kepala, penumpang hadapan dan belakang juga cedera manakala seorang lagi penumpang belakang maut.
"Pemandu kereta Perodua Axia pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala enam lagi penuntut hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan.
Sik berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Menjengah ke Facebook Pusat Islam Al-Firdaus - PISAF, Sinar Bestari mendapati, bacaan yasin dan doa munajat telah dilakukan secara Google Meet pada jam 7.30 malam untuk mangsa kemalangan.
Tulis mereka, dua penuntut IPG itu, Muhammad Adam Haikal Mohd Nazim dan Muhammad Izz Ikhwan Mohd Jefri kini kritikal ICU manakala Nurul Alya Fatnin telah meninggal dunia dalam kemalangan itu.
"Mari bersama kita memohon kekuatan dan rahmat daripada ALLAH SWT untuk mereka yang diuji dengan musibah kemalangan ini.
"Firman ALLAH: Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang sabar (Surah Al-Baqarah, Ayat 153),” catat mereka.
Sementara itu, Facebook Ipgm Kampus Sultan Mizan - Rasmi tidak ketinggalan berkongsi perkembangan arwah Nurul Alya Fatnin dalam satu video selepas tragedi itu.
Dalam video tersebut, kelihatan ramai yang hadir menyembahyangkan jenazah Allahyarham sekali gus memberi penghormatan terakhir buat beliau.
"Ya ALLAH, ampunkanlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya. Muliakan kedudukannya, luaskan tempat tinggalnya, mandikan dia dengan air, salji dan air sejuk. Bersihkannya daripada kekotoran dosanya sebagaimana dibersihkan pakaian yang putih dari segala kekotoran. Dan gantikan rumahnya dengan rumah yang lebih baik dan pasangan yang lebih baik. Masukkan dia ke dalam syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur dan ujiannya serta jauhkan dia dari azab neraka. Semoga roh arwah ditempatkan bersama dengan para nabi, siddiqiin, shuhada dan solihin..." kata warga maya.