Keputusan keseluruhan bagi Peperiksaan Sijil Menengah Agama Tahfiz al-Quran (SMATQ) pada tahun 2024 mencatat 100 peratus lulus diikuti dengan Sijil Menengah Agama Tahfiz al-Quran KBT (SMATQKBT) dan Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD) yang turut meraih keputusan sama.
Manakala, Sijil Menengah Agama (SMA) pula mencatat peratus lulus sebanyak 99.6 peratus dan Sijil Kafa Menengah (SKM) sebanyak 99.5 peratus.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pencapaian calon mengikut pangkat dan prestasi bagi SMATQ mencatatkan tiada calon yang mendapat pangkat Musaadah (perlu bimbingan).
Keputusan ini turut diikuti oleh SMATQKBT yang mencatatkan tiada calon mendapat pangkat Maqbul (lulus) dan Musaadah (perlu bimbingan).
"Bagi SMATD pada tahun 2024 ini juga tiada calon yang mendapat pangkat Maqbul dan Musaadah.
"Secara keseluruhannya, prestasi pada tahun ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik hasil usaha berterusan oleh para calon, ibu bapa, pihak sekolah, guru-guru dan pentadbir.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan PSRA, SMA, SMATQ, SMATQKBT, SMATD dan SKM tahun 2024,” katanya.