Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who, petugas peperiksaan yang terdiri daripada 44,968 petugas telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan semua calon supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan.
"Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
"Selain itu, pelajar juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM 2024," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh, Ipoh, Perak hari ini.
Sementara itu, ujar Kah Who, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang SPM berlangsung.
Jelasnya, calon peperiksaan dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
Malah, mereka juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan dan JPN di seluruh negara.