Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap bersemangat menduduki ujian bertulis pada Khamis, walaupun terpaksa mengambil peperiksaan itu di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, akibat kemalangan jalan raya pada 19 Disember lepas.
Ibu kepada calon itu, Hasnah Md Isa, 52, berkata anaknya Ahmad Zikri Ahmad Asri, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, Jitra dekat sini, masih dirawat kerana tangan kanannya patah akibat kemalangan itu.
"Selain tangan kanan patah, kaki kanan anak juga cedera. Hampir dua minggu anak di wad, malah ujian mendengar juga diambil di hospital... untuk ujian hari ini, anak dibantu pengawas bertugas memandangkan tangan terlibat tidak boleh menulis," katanya semasa dihubungi Bernama.
Walaupun berada di hospital, Hasnah berkata anaknya tetap membuat ulang kaji manakala beliau sendiri tidak putus-putus berdoa selain mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat bagi memohon urusan Ahmad Zikri sepanjang peperiksaan penting itu dipermudahkan.
Sebagai ibu, Hasnah berkata sudah tentu beliau mahu yang terbaik untuk anaknya namun dengan keadaan Ahmad Zikri sekarang, dirinya reda apatah lagi anaknya telah dijadualkan untuk menjalani pembedahan bagi memasukkan besi pada tangan yang patah, malam ini.
"Saya berdoa agar dia dapat menjawab dengan tenang dan mendapat keputusan yang baik," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Kedah, Ismail Othman dalam sidang media selepas meninjau perjalanan SPM 2024 di SMK Mahang di sini, berkata seramai tujuh calon menduduki peperiksaan di hospital akibat masalah kesihatan atau kemalangan.
Seramai empat daripadanya menduduki ujian di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, manakala masing-masing seorang di HSB, Hospital Jitra dan Hospital Kuala Nerang.
Secara keseluruhan, jumlah calon SPM 2024 di Kedah adalah seramai 28,944 orang dengan 71 daripadanya calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) pelbagai kategori, menduduki peperiksaan itu di 264 pusat peperiksaan di seluruh negeri itu.