4 pelajar MRSM Alor Gajah rangkul 6A* IGCSE 2025! Power anak Malaysia

Iklan
Dari kiri Maliquz Zama, Haris Wang, Muhammad Aqeef Addeen dan Muhammad Hadif Irfan. Foto: Facebook MRSM Alor Gajah - Page Rasmi

Empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka mencuri tumpuan apabila masing-masing meraih 6A* dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) 2025.

Pelajar terbabit iaitu Maliquz Zama Khursheed Zama, Haris Wang Kuan Jay, Muhammad Aqeef Addeen Mohd Faizal dan Muhammad Hadif Irfan Irman Fadzely memperoleh keputusan cemerlang dalam enam subjek yang diambil iaitu Bahasa Inggeris, Biologi, Kimia, Fizik, Matematik dan Matematik Tambahan.

Iklan
Iklan

Menerusi perkongsian di platform rasmi sekolah, mereka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha, disiplin serta komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh para pelajar berkenaan sepanjang tempoh pembelajaran.

"Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang pada masa hadapan serta menjadi inspirasi kepada seluruh warga maktab," menurut hantaran berkenaan.

Iklan

Sementara itu, kejayaan empat pelajar tersebut turut mencuri perhatian warga maya yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah, doa serta rasa bangga terhadap kecemerlangan anak-anak Malaysia yang terus membuktikan keupayaan mereka di pentas global.

Lebih membanggakan, pencapaian ini menambah deretan rekod kecemerlangan pelajar MRSM dalam peperiksaan IGCSE.

Iklan

Sebelum ini, Engku Aleesya Engku Emran mencatat kejayaan luar biasa apabila memperoleh 7A dalam semua subjek IGCSE yang didudukinya, termasuk First English Language, Matematik, Fizik, Biologi, Sosiologi, Bahasa Malaysia dan Psikologi.

Selain itu, pelajar MRSM Kuantan, Pahang, Ahmad Soleh Muhaimi Saifuddin berjaya meraih markah penuh bagi subjek Bahasa Inggeris dan Matematik IGCSE.

Manakala Muhammad Amiruz Zafeer Azlan Shah dari MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor turut mencatat markah penuh dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris IGCSE.

Pencapaian demi pencapaian ini jelas membuktikan bahawa sistem pendidikan MRSM bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik, malah mampu melahirkan generasi berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Untuk makluman, program MRSM IGCSE merupakan sistem pendidikan bersepadu yang menggabungkan Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Khas MRSM dan Kurikulum Cambridge IGCSE, dengan matlamat melahirkan pelajar yang berdaya saing dan berkemahiran global.

Program ini menawarkan pensijilan berkembar iaitu IGCSE dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar akan menduduki peperiksaan IGCSE pada peringkat Tingkatan Empat, manakala SPM pada Tingkatan Lima, dengan Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar utama bagi subjek IGCSE.