Ingin mewujudkan pengalaman pembelajaran kondusif lagi menenangkan, seorang guru membuat keputusan mengubah suai sebuah perpustakaan sekolah dengan tema lapangan terbang.
Mohamad Azizi Zamri Ilias yang merupakan Guru Perpustakaan dan Media (GPM) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Usman Awang, Kota Tinggi berkata, perpustakaan sekolah berkonsepkan lapangan terbang ini direalisasikan secara berkumpulan iaitu bersama pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan (USTP) Kota Tinggi.
Mohamad Azizi, 35, berkata, SK Datuk Usman Awang adalah sekolah ketiga sejak beliau bergelar seorang guru dan menjadi tanggungjawab buat dirinya untuk mencipta kenangan kepada para pelajar.
"Saya mula berpindah ke sekolah ini pada Februari 2024. Tercetusnya idea untuk mengubah suai perpustakaan di SK Datuk Usman Awang ini berikutan suasananya agak kurang nyaman untuk pelajar.
"Benar, perpustakaan ini dilengkapi bahan bacaan dan sudut-sudut untuk pelajar membaca buku serta mendapatkan maklumat tetapi suasananya agak suram sebelum ini.
"Saya bersama rakan guru lain, para ibu bapa dan PPD Kota Tinggi duduk berbincang bagi mencari tema apa yang sesuai untuk menaikkan semula aura perpustakaan ini.
"Alhamdulillah, akhirnya kami mencapai kesepakatan, maka wujudlah perpustakaan dalam suasana lapangan terbang ini," katanya kepada Sinar Bestari pada Selasa.
Mohamad Azizi berkata lagi, lokasi yang terletak di tingkat tiga bangunan sekolah juga menguatkan semangatnya untuk mencari idea mengaktifkan semula perpustakaan dengan susunan ideal bahan bacaan dan aktiviti pelajar.
"Perpustakaan ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu sudut pidato (bahasa Melayu dan Inggeris), bilik mesyuarat TV Pusat Sumber Sekolah (PSS), studio TV PSS dan sudut bacaan yang menempatkan buku-buku.
"Pelajar juga disediakan kemudahan akses teknologi seperti tablet dan komputer.
"Selain itu, kita wujudkan juga sudut Hutan Paya Laut yang mendapat pengiktirafan daripada PPD Kota Tinggi sekali gus mencantikkan lagi suasana perpustakaan ini," katanya sambil menambah perpustakaan SK Datuk Usman Awang itu semakin sibuk dengan kehadiran tetamu selain menjadi lokasi pertandingan bercerita di daerah tersebut.
Mohamad Azizi turut menitipkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Guru Besar SK Datuk Usman Awang, Rashidah Abdul Rashid kerana menyokong usaha itu.