"Menjengah media sosial pagi ini, ramai yang berkongsi berita pemergian seseorang yang banyak berjasa dan dikasihi oleh ramai orang baik-baik.
"Saya tidaklah kenal rapat sangat dengan beliau selain daripada mengetahui arwah mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan seorang sahabat.
"Semoga setiap amalan, jasa tinggalan dan semua kebaikan beliau diberikan ganjaran dan menjadi motivasi berterusan untuk kita semua sebagaimana pesanan Buya Hamka ‘Lakukanlah kebaikan agar manusia tahu kamu pernah hidup di atas dunia ini’. Hidup biarlah beramal mati biarlah berbekal. Setiap saat berharga setiap saat dikira."
Demikian catatan sedih pengguna Facebook dikenali Mohd Apandi Hussian pada Rabu.
Hantaran itu dibuat susulan pemergian Profesor Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga tokoh agamawan dan penulis tersohor, Profesor Muhd Kamil Ibrahim jam 7.19 malam pada Selasa.
Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Selangor akibat penyakit kanser paru-para tahap empat.
Muhd Kamil yang berasal dari Besut, Terengganu dikenali melalui karya-karya motivasi dan dakwahnya termasuk buku ‘Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman'.
Menyoroti latar belakang pendidikan tokoh agamawan ini, beliau sebenarnya telah berkhidmat sebagai Profesor Perakaunan di UiTM lebih 24 tahun termasuk memegang jawatan penting seperti Dekan Fakulti Sains Sukan dan Ketua Program Perakaunan.
Muhd Kamil mendapat pendidikan di beberapa institusi pengajian antaranya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kelantan; Diploma dan Sarjana Muda di UiTM; Sarjana dari University of Dundee, Scotland dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Wales, United Kingdom.
Beliau juga pernah menjadi Profesor Perakaunan di Universiti Taibah, Madinah Al-Munawwarah, Arab Saudi.
Lebih 500 artikel telah dihasilkan arwah dalam jurnal dan media massa.
Antara buku yang ditulis seperti Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman telah menjadi fenomena dan pernah menduduki carta jualan buku paling laris.
Akhir sekali, buat keluarga arwah, kami di Sinar Bestari merakamkan ucapan takziah atas kehilangan insan tercinta.
Semoga kalian diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan ALLAH ini.