MBPJ bantu 110 pelajar B40, Orang Asli kuasai kemahiran asas IT

Iklan
Seramai 110 pelajar yang mengikuti program kemahiran asas IT bergambar dalam Majlis Penganugerahan Sijil Tamat Kursus Program LIT dan LITs di Dewan Banquet, MBPJ pada Rabu.

Seramai 110 pelajar golongan B40 dan Orang Asli dari sekolah rendah serta menengah sekitar daerah Petaling Jaya, Selangor diberi pendedahan asas mengenai penggunaan perisian seperti Microsoft Office Word, Excel dan PowerPoint menerusi program Lifelong Learning IT (LIT) dan Lifelong Learning IT Softskill (LITs) 2024.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, ia merupakan inisiatif Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam membantu pelajar menguasai kemahiran asas teknologi maklumat (IT) bagi keperluan di sekolah dan selepas tamat pendidikan formal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program LIT dibuat khusus untuk murid sekolah rendah yang meliputi empat sesi pembelajaran dengan penyertaan 10 tenaga pengajar berpengalaman dari Jabatan Teknologi Maklumat MBPJ.

"Pelajar sekolah menengah pula di bawah program LITs merangkumi lima sesi pembelajaran insentif oleh lapan pengajar berkemahiran tinggi yang mana pelajar dilatih mengenai pemasangan komponen Unit Kawalan Pusat (CPU) serta pengendalian permasalahan komputer dan membekalkan mereka dengan kemahiran praktikal yang relevan.

Iklan

"Menyedari kepentingan IT sebagai medium pembelajaran dan kemahiran masa depan, MBPJ mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan program LIT dan LITs untuk memperkasa pelajar terutamanya daripada golongan B40 dan Orang Asli.

"Modul program ini direka khusus untuk keperluan semasa selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat iaitu pendidikan berkualiti," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penganugerahan Sijil Tamat Kursus Program LIT dan LITs di Dewan Banquet, MBPJ pada Rabu.

Iklan

Program LIT telah diadakan bermula 23 April hingga 8 Oktober 2024 yang melibatkan 80 pelajar dari lima sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Subang, SK Taman Dato Harun, SK Petaling Jaya, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda dan SK Bukit Lanjan.

Selain itu, LITs pula disertai 30 pelajar dari dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Subang dan SMK Taman Dato Harun.

Pada majis berkenaan, MBPJ turut menyerahkan sumbangan komputer kepada dua sekolah menengah tersebut bagi menyuntik semangat pelajar untuk mempelajari dan meningkatkan kefahaman IT demi kegunaan serta manfaat masa depan.