Tidak ada siapa yang ingin diuji dengan penyakit seperti kanser.
Namun, apabila ALAH mentakdirkan sesuatu ujian, kita perlu menerimanya dengan hati yang reda kerana setiap ujian itu datang bersama hikmah dan peluang untuk mendekatkan diri kepadaNya.
Sesungguhnya ALLAH tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
Pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok, Kedah, Nur Auni Qistina Zahari, 17, merupakan anak gadis yang kini diuji dengan kanser ovari.
Dia yang sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini terpaksa menangguhkan peperiksaan berkenaan kerana perlu menjalani rawatan.
Katanya, dia sedih kerana perlu melalui ujian sebegini sekali gus tidak dapat menduduki SPM.
"Sebelum ini saya sudah janji dengan kawan-kawan untuk mengambil peperiksaan bersama-sama.
"Tetapi apabila ALLAH uji dengan kanser ovari, saya reda dan mengganggap semua ini pasti ada hikmahnya,” ujar anak pasangan Zahari Hashim dan Norhesreyzah Rejab.
Mengulas lanjut, Nur Auni Qistina berkata, penyakit (kanser ovari) yang dihadapinya itu, disahkan oleh doktor di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada 2 Mei 2024.
"Saya tidak datang haid walaupun sudah berumur 16 tahun.
"Selepas itu saya membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Changlun dan seterusnya di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar. Di sini, doktor mendapati ada ketumbuhan pada ovari kiri yang perlu dibuang segera.
"Kemudian, semasa mendapatkan rawatan susulan di HSB, doktor sahkan saya menghidap kanser ovari dan perlu menjalani enam pusingan kemoterapi," ujarnya yang dijadualkan menjalani pembedahan membuang ovari kanan dan rahim pada Isnin.
Terdahulu, Nur Auni Qistina telah menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamaln yang menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur bagi meringankan beban keluarga pelajar cemerlang ini.
INFO
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan kepada Nur Auni Qistina boleh berbuat demikian melalui akaun 02093027696667 Bank Islam atas nama Norhesreyzah Rejab.