Pelajar selesa, ilmu pun mudah diterima

Iklan

Usaha Mara wujudkan suasana pembelajaran kondusif sepanjang tahun 2025

Persekitaran sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti pembelajaran dan pengajaran sentiasa terjamin, selain mendorong kepada suasana selesa buat semua pelajar mahupun guru-guru.

Malah keberkesanan pendidikan hari ini, tidak hanya melibatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetapi dipengaruhi oleh fasiliti yang disediakan.

Iklan
Iklan

Penyediaan fasiliti terbaik perlu dibuat oleh pihak-pihak bertanggungjawab agar dapat mewujudkan suasana yang bukan sahaja selesa, malah selamat digunakan.

Ia tidak hanya memberikan kemudahan kepada pelajar, guru dan warga sekolah tetapi mampu mewujudkan suasana yang lebih selesa, kondusif dan paling penting adalah menyokong perkembangan holistik pelajar.

Iklan

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, pihaknya sentiasa memastikan setiap sen yang dikeluarkan sebagai peruntukan menambah baik atau membaiki Institusi Pendidikan Mara (IPMa) dimanfaatkan dan digunakan di jalan yang betul.

Kata beliau, usaha ini adalah untuk memastikan setiap IPMa termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mempunyai kemudahan atau fasiliti yang terbaik dan menjamin keselesaan buat semua penuntutnya.

Iklan

"Saya telah meminta pihak pengurusan untuk menyampaikan kepada semua IPMa agar mengutamakan perkara-perkara asas yang menjadi faktor keselesaan, kebajikan dan ekosistem pembelajaran pelajar-pelajar.

"Jadi kalau ada IPMa yang mendapat peruntukan untuk penambahbaikan hendaklah memfokuskan perkara sebegini berbanding dengan hal-hal bersifat kosmetik.

"Contohnya antara tandas dengan cat adalah lebih baik fokus kepada menambahbaik tandas agar dapat menjamin keselesaan pengguna terutamanya pelajar-pelajar,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari, baru-baru ini.

#terjah

Sebelum ini, Asyraf Wajdi menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di media sosialnya menyatakan, status projek menaik taraf dan baik pulih di IPMa sudah mencapai hampir 90 peratus siap sempurna.

Hasil tindakan #terjah yang dilakukannya sebelum ini ternyata membuka mata tentang beberapa perkara melibatkan masalah persekitaran pembelajaran akhirnya berjaya diselesaikan.

Tegas Asyraf Wajdi, #terjah itu juga akan terus dilakukannya dari semasa ke semasa bagi melihat sendiri persekitaran institusi pendidikan terutamanya IPMa dan memastikan setiap sen wang rakyat dapat dibelanjakan dengan sempurna, berkesan dan tiada sebarang ketirisan.

"Sesi terjah diteruskan tetapi saya tidak akan beritahu bila atau mana institusi. Nama pun terjah."Insya-ALLAH, Mara sentiasa berusaha memastikan prasarana dan persekitaran pembelajaran dalam keadaan terbaik agar pelajar serta warga kerja melakar kecemerlangan,” katanya.

93,635 permohonan ke MRSM

Asyraf Wajdi memberitahu, pihaknya sentiasa bersiap sedia menerima kemasukan pelajar baharu bagi sesi 2025. Ujarnya, seramai 8,909 pemohon berjaya ditawarkan tempat ke MRSM tahun ini, dengan kapasiti kemasukan 7,229 pelajar Tingkatan Satu dan 1,680 bagi pelajar Tingkatan Empat.

Katanya, bilangan itu merangkumi sebahagian daripada jumlah keseluruhan calon yang memohon.

"Tahun ini, Mara menerima sebanyak 93,635 permohonan ke Tingkatan Satu dan Empat, dengan pelajar wajib melepasi Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).

"Mara masih kekalkan asas sedia ada dengan 60 peratus penawaran buat keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan keutamaan kepada pemohon luar bandar dan miskin bandar," katanya.