Night at the Karangkraf 'Here For Teen Life' kembali memeriahkan cuti sekolah anak-anak dengan program motivasi sambil memahami, melawat dan bermalam di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 12 hingga 13 Februari 2025.
Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin berkata, program selama dua hari itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid mengenai cabaran di sekolah menengah tetapi juga memperkenalkan kerjaya media secara menyeluruh.
"Kita akan bawa murid yang berumur 13 tahun melawat abang serta kakak wartawan di Karangkraf dan mereka juga akan ke kilang untuk melihat proses pembuatan surat khabar.
"Seperti program tahun lepas iaitu YES! Night At The Library di Pustaka Raja Tun Uda, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam, kita mendapat sambutan cukup memberangsangkan.
"Jadi tahun 2025, kita kembali dan akan ada tiga lagi siri seperti ini di lokasi berbeza," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, seramai 47 murid telah mengikuti program YES! Night At The Library pada 20 hingga 21 Disember lalu.
Meen Tahrin berkata, Night at the Karangkraf membuka 100 penyertaan untuk bakal pelajar Tingkatan 1.
"Berbeza dengan tahun lepas, program kali ini kita fokuskan transisi murid dari sekolah rendah ke menengah agar mereka boleh sesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
"Saya harap program ini berjalan lancar dan disokong syarikat korporat untuk bekerjasama dengan Akademi Pendidikan Sinar Bestari," ujarnya.
Sementara itu, Meen Tahrin mengucapkan terima kasih kepada penaja seperti Taylor's College, KFC Malaysia dan agensi kerajaan kerana memeriahkan program tersebut.
Pendaftaran Night at the Karangkraf, Here For Teen Life boleh dibuat di laman sesawang https://events.karangkraf.com/event/night-at-the-karangkraf/ sebelum tarikh tutup pada 4 Februari 2025 dan yuran penyertaan sebanyak RM150.