Program Night at the Karangkraf yang akan berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 12 dan 13 Februari depan dapat membantu murid untuk mempersiapkan diri bagi melangkah ke peringkat sekolah menengah.
Editor Sinar Bestari, Nurbaya Abdul Rezak berkata, fokus utama program itu adalah memberikan pendedahan tentang kaedah komunikasi, kebersihan diri, disiplin dan pengetahuan mengenai pengaruh rakan sebaya.
"Kita memilih untuk melaksanakan program ini kerana mahu memberikan peluang kepada pelajar mengetahui kaedah yang betul dalam menguruskan keperluan diri, sama ada daripada segi mental dan fizikal.
"Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya lawatan kerjaya, eksplorasi malam, slot bersama pasukan keselamatan dan talent time," katanya pada Khamis.
Nurbaya berkata, pendedahan awal sangat penting agar pelajar sentiasa bersedia untuk menghadapi fasa baharu dunia pembelajaran sekolah menengah.
"Jika pelajar tiada pendedahan awal, dibimbangkan mereka akan ketinggalan atau mudah dipengaruhi perkara yang tidak sepatutnya.
"Jadi kepada ibu bapa, rebutlah peluang ini dan daftarkan anak anda. Kami yakin aktiviti yang disediakan akan beri manfaat kepada anak-anak,” katanya.
Pada masa sama, Nurbaya juga mengalu-alukan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dengan Akademi Pendidikan Sinar Bestari bagi menjayakan program itu.
Sementara itu, Penyelaras Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Siti Farihan Ismail berkata, ibu bapa yang berminat untuk mendaftarkan anak-anak mereka boleh mengimbas kod QR yang dimuat naik di media sosial Sinar Bestari.
Menurutnya, yuran penyertaan hanya RM150 sahaja termasuk makan dan minum tujuh kali sehari dan barangan aktiviti seperti sleeping bag, hadiah, cenderamata serta sijil penyertaan.
"Peserta hanya perlu bawa barang keperluan peribadi seperti pakaian beribadah, sukan dan baju harian serta kelengkapan mandian," ujarnya.