7 perkara luar biasa dilihat Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj. Guru & pelajar wajib tahu!

Iklan
Sepanjang satu malam melalui perjalanan Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW diperlihatkan dengan pelbagai perkara luar biasa yang sarat dengan pengajaran untuk kita jadikan sebagai pedoman. - Foto: Canva

Peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab bukan sekadar kisah sejarah semata-mata, tetapi ia begitu sarat dengan pengajaran bagi seluruh umat Islam.

Ia juga menjadi antara mukjizat terbesar Rasulullah SAW yang melakukan perjalanan rohani dan fizikal dalam satu malam sahaja.

Iklan
Iklan

Menerusi perkongsian pendakwah tersohor, Ustazah Asma’ Harun, beliau menjelaskan bahawa Israk bermaksud perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan menaiki tunggangan bernama Buraq.

"Mikraj pula bermaksud perjalanan Bgainda dari Masjidi Aqsa ke Sidratulmuntaha (langit ketujuh) sebagaimana yang dirakamkan ALLAH SWT menerusi ayat pertama surah al-Isra’,” katanya dipetik menerusi hantaran beliau di akaun media sosial Facebook miliknya pada Ahad.

Ustazah Asma’

Iklan

Beliau kemudian berkongsikan tujuh peristiwa luar biasa yang diperlihatkan kepada Rasulullah SAW sepanjang perjalanan agung Baginda itu.

Berikut perinciannya:

Iklan

1. Nabi Muhammad SAW diperlihatkan balasan bagi mereka yang suka mengumpat

Daripada Anas bin Malik, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Pada malam aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: Siapa mereka ini, wahai Jibril? Jibril menjawab:"Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

2. Tercium haruman kubur Masyitah, tukang sikat kepada anak perempuan Firaun

Ibnu Abbas berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Nabi Muhammad SAW tercium satu bau yang amat harum. Apabila Baginda bertanya kepada Jibril AS, Jibril menjawab: Itulah bauan Masyitah (tukang sikat anak perempuan Firaun) dan anak-anaknya. Satu hari, ketika dia (yakin Masyitah) sedang menyikat rambut anak perempuan Firaun, tiba-tiba sikat terjatuh dari tangannya.

Ketika mengambil sikat itu, ia berkata ‘Bismillah (Dengan nama ALLAH)’. Lalu anak perempuan Firaun bertanya ‘Adakah kamu menyebut nama bapaku?’ Masyitah menjawab, ‘Tidak, tetapi aku menyebutkan nama Tuhanku dan Tuhan bapamu, iaitu ALLAH’. Lantas, anak perempuan Firaun memberitahu kepada ayahnya (Firaun), lalu Masyitah dibunuh bersama anak-anaknya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Jauhi diri daripada suka mengumpat. - Foto: Canva

3. Diperlihatkan balasan mereka yang meninggalkan solat

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:"Kemudian Baginda SAW datang kepada suatu kaum yang menghancurkan kepala mereka dengan batu. Setiap kali kepala mereka dihancurkan, ia kembali semula seperti sedia kala dan mereka sedikit pun tidak mahu berhenti daripada (melakukan) perkara tersebut. Maka Baginda bertanya: ‘Wahai Jibri, siapakah mereka?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ialah golongan yang berat kepalanya (cuai dan lalai) daripada mendirikan solat fardu’.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi, hadis daif)

4. Rasulullah SAW melihat Nabi Musa, Isa AS dan Malaikat Malik penjaga neraka serta dajal

Ibnu Abbas RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:"Pada malam Israk, aku melihat Nabi Musa AS yang berkulit sawo matang, tinggi dan rambutnya kerinting seolah-olah Baginda daripada pemuda Syanu’ah (qabilah daripada Qahtah). Aku juga melihat Nabi Isa sebagai seorang yang sederhana tingginya, mempunyai warna kulit yang sederhana antara merah dan putih serta berambut lurus. Aku melihat pula Malaikat Malik penjaga neraka dan dajal. Semuanya merupakan tanda-tanda yang diperlihatkan ALLAH kepadaku: ‘Janganlah engkau berada dalam keraguan untuk bertemu dengan-NYA’.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Usah sesekali melalaikan atau meninggalkan solat kerana begitu besar azabnya. - Foto: Canva

5. Nabi Muhammad SAW melihat nabi-nabi dan umatnya masing-masing

Ibnu Abbas RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Nabi Muhammad SAW melintasi nabi-nabi AS dan melihat umat masing-masing. Ada nabi yang umatnya satu kaum, ada nabi yang umatnya beberapa orang sahaja dan ada nabi yang tidak berumat walau seorang pun. Kemudian Nabi melihat lautan manusia yang besar. Apabila Baginda bertanya, ‘Siapa mereka?’ Dijawab kepada Baginda, ‘Itulah Musa bersama umatnya’. Kemudian dikata kepada Nabi, ‘Angkatlah pandanganmu dan lihatlah di ufuk sana dan ufuk sana.’ Apabila Nabi melihatnya, dikatakan kepada Baginda, ‘Itulah umatmu’. Di antara mereka akan ada 70,000 orang yang bakal memasuki syurga tanpa hisab.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

6. Diperlihatkan balasan kepada pendakwah yang tidak beramal dengan apa yang dikatakan

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tatkala saya diisrakkan, saya melihat beberapa orang yang lidahnya dipotong dengan gunting dari api. Saya bertanya, ‘Wahai Jibril, siapakah mereka itu?’ Dia menjawab, ‘Mereka ialah para khatib umatmu, mereka memerintahkan kepada orang-orang untuk berbuat kebaikan, namun mereka melupakan diri mereka sendiri padahal mereka membaca kitab. Tidakkah mereka menggunakan akalnya?’” (Hadis Riwayat Ahmad)

7. Baginda SAW terdengar telapak kaki Bilal di syurga

Abu Hurairah RA berkata, telah berkata Nabi Muhammad SAW kepada Bilal ketika solat fajar: "Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam syurga.” Bilal menjawab:"Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Melihat kepada perkara luar biasa yang berlaku ketika perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah SAW itu, ujar Ustazah Asma’, tiada yang mustahil bagi ALLAH SWT atas setiap perkara yang berlaku.

jadilah pendakwah yang bukan sekadar menasihati orang lain, tetapi juga mengamalkan apa yang dipelajari di diberitahu kepada umat. - Foto: Canva

"Sebagai umat Islam, wajib bagi kita meyakini dan mempercayai perkara ghaib.

"Seperkara lagi, ketinggian darjat Nabi Muhammad SAW di sisi ALLAH SWT tidak pernah berlaku oleh sesiapa pun selain Baginda. Malah, perintah solat yang diberikan secara langsung kepada Baginda memperlihatkan betapa pentingnya ibadah solat lima waktu itu.

"Dari 50 waktu solat sehari semalam kepada lima waktu sahaja, tetapi tetap mengekalkan ganjarannya memperlihatkan kasih sayang ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA,” coretnya selain mengingatkan bahawa Baitulmaqdis merupakan harta umat Islam.

Rasulullah SAW turut mendengar telapak kaki Bilal di syurga. - Foto: Canva


Sebagai umat Islam, wajib bagi kita meyakini dan mempercayai perkara ghaib. - Foto: Canva