Tular satu rakaman video di TikTok yang memaparkan seorang anak muda berkongsi transisi kerjayanya yang dulu pengawal keselamatan dan sekarang sedang bekerja sebagai pramugara.
Difahamkan, video Muhammad Ikram Mazlan, graduan Diploma Pentadbiran Perniagaan di University of Cyberjaya (UOC) telah berjaya mendapat jumlah tontontan melebihi 200 ribu, ratusan komen dan ribuan tanda suka serta 531 perkongsian daripada warga maya.
Menerusi paparan video berkenaan, jelas menunjukkan yang Muhammad Ikram sangat bersyukur apabila direzekikan menjadi anak kapal di sebuah syarikat penerbangan terkenal di Malaysia.
"Kerjaya sebagai pramugara memang menjadi impian saya.
"Alhamdulillah, kini sudah lebih setahun saya bekecimpung dalam kerjaya ini sekali gus berpeluang ke pelbagai negara antaranya India, Australia dan China," ujarnya yang memanjatkan ucapan setinggi-tinggi syukur ke hadrat ALLAH SWT kerana merealisasikan cita-citanya.
Mengulas lanjut tentang diri yang sanggup bekerja sebagai pengawal keselamatan, Muhammad Ikram berkata, semuanya bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Ujarnya, ramai individu terpaksa mencuba pelbagai pekerjaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi yang mencabar.
"Sebenarnya, selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bekerja sebagai pembantu jualan di pusat beli-belah. Cuma apabila PKP, saya hilang pekerjaan.
"Kemudian, saya ternampak iklan di Facebook tentang jawatan pengawal keselamatan dan saya terus mohon, alhamdulillah diterima," katanya seperti dipetik portal tempatan.
Setelah setahun menjadi pengawal keselamatan iaitu pada 2020 hingga 2021, Muhammad Ikram memilih untuk berhenti kerja kerana mahu menyambung pengajian dalam Diploma Pentadbiran Perniagaan di UOC di mana akhirnya dia berjaya menjadi pramugara.