Catur ialah sukan minda yang dimainkan antara dua pemain di atas papan bersaiz 8×8 petak.
Setiap pemain mempunyai 16 buah catur termasuk raja, permaisuri, benteng dan kuda.
Catur memerlukan strategi, daya pemikiran kritis dan kebolehan merancang langkah ke hadapan.
Ia juga diiktiraf sebagai sukan yang mengasah kecerdasan dan daya tumpuan.
Pertandingan catur diadakan di peringkat sekolah, kebangsaan dan antarabangsa termasuk Kejohanan Catur Dunia anjuran Federation Internationale des Echecs (FIDE).
Selain dimainkan secara fizikal, catur juga popular dalam bentuk digital melalui pelbagai platform dalam talian yang membolehkan pemain bertanding secara global.
Bagi memastikan seorang pemain catur dapat menguasai permainan, sudah tentunya ada tip dan panduan tertentu yang boleh dilakukan sekiranya berdepan pihak lawan.
Berikut Sinar Bestari kongsikan tip menjadi pemain catur.
1) Minat
Sudah tentunya minat yang mendalam dalam permainan catur dan kerja keras adalah penting untuk menjadi pemain catur profesional.
2) Bermula pada usia muda
Umur terbaik untuk mula bermain catur ialah sembilan hingga 12 tahun. Daftar sebarang pertandingan dan teruskan kerjaya dalam bidang ini sekiranya anda mempunyai minat terhadap catur.
3) Perancangan kewangan yang baik
Anda perlu membuat sedikit pelaburan untuk mendapatkan latihan daripada jurulatih berpengalaman supaya mendapat asas yang kukuh dalam sukan catur.
Pemain yang sudah mempunyai asas dilihat lebih mudah untuk bergerak ke peringkat lebih tinggi.
4) Emosi yang stabil
Pemain perlu sentiasa memastikan emosi stabil sebelum menyertai perlawanan. Lakukan rutin yang biasa dibuat sebelum perlawanan kerana ia cara sesuai untuk memastikan emosi dan minda berada dalam keadaan terbaik.
5) Berfikir secara objektif
Perkara utama yang perlu dilakukan semasa perlawanan adalah untuk tidak membiarkan emosi menghalang. Sentiasa ingat untuk menggunakan masa yang ada dan berfikir secara objektif sebelum membuat keputusan. Satu kesilapan biasa yang dilakukan oleh kebanyakan pemain ialah memandang rendah atau terlalu mengagumi kekuatan lawan. Ini tidak baik! Sentiasa berfikiran positif tentang kedudukan anda dan fikirkan untuk membuat langkah terbaik.
6) Kekalahan adalah guru
Setiap kekalahan adalah kerana kesilapan yang boleh dielakkan pada awalnya. Pastikan anda tidak mengulangi kesilapan sama di masa depan. Teruskan bermain catur dengan minda bahawa kekalahan adalah guru yang terbaik.