"Berkat doa ibu dan insan-insan baik di sekeliling saya. Terima kasih semua," kata penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Universiti Malaya, Muhammad Taftazany Abd Rahman, 24, secara ekslusif kepada Sinar Bestari.
Muhammad Taftazany, graduan Akademi Pengajian Islam, UM telah merangkul anugerah tertinggi itu menerusi Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-64 baru-baru ini.
Selain beliau, Kasiban Muniandy iaitu graduan dalam bidang kejururawatan, Fakulti Perubatan turut terpilih untuk menerima anugerah berprestij itu.
Anak kelahiran Baling, Kedah ini berkata, kejayaan berkenaan didedikasikan khas buat ibu tercinta, Hasniza Abu Hassan, 45.
"Semenjak ayah, Abd Rahman Ismail meninggal dunia ketika usia saya 5 tahun, ibulah yang mengambil tanggungjawab membesarkan saya dan adik-adik, Ahmad Zarqany dan Muhammad Iman Sumaidy sehingga hari ini.
"Macam-macam kerja ibu buat untuk sara kami. Bermula dengan menjadi guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), uruskan insurans, jual baju, kurma, kuih, ambil upah menjahit baju, jual minyak wangi dan banyak lagi.
"Ibu juga bergadai emas dan wang simpanannya untuk anak-anak. Sukar kehidupan dilalui ibu satu masa lalu,” ujarnya sebak.
Kecekalan ibu mengharungi liku-liku kehidupan mematangkan Muhammad Taftazany untuk sabar, cekal dan tabah dalam hidup.
"Keluarga saya susah. Ibu selalu berpesan...'Tengok cara ibu cari rezeki, nanti abang akan tahu makna bersyukur dengan apa yang dimiliki walaupun ia kecil di mata orang'.
"Daripada situ, saya belajar untuk mencari duit (ketika itu) demi meringankan beban keluarga.
"Saya buat macam-macam kerja. Jual roti jala, jadi guru ganti, ambil tempahan kek, jual minyak wangi dan banyak lagi sehinggalah saya mendapat tawaran belajar di UM," katanya.
Sementara itu, Muhammad Taftazany berkata, Anugerah Pelajaran DiRaja yang dirangkul itu adalah rumusan daripada sebahagian perjalanan kehidupan lalu yang penuh ujian dan dugaan.
"Saya selalu pesan pada diri...kena yakin dan percaya yang ALLAH selalu ada. Serahkan segalanya kepadaNya,” akhiri Muhammad Taftazany yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Akademi Pengajian Islam, UM dengan kajian berkaitan fiqh perubatan (integrasi syariah dan neurosains) dalam intervensi strok melalui perspektif Islam.