Permohonan kemasukan pelajar bagi sesi akademik 2025/2026 melalui platform UPUOnline akan dibuka mulai 10 Februari hingga 14 Mac 2025 untuk Fasa Pertama.
Untuk Fasa Kedua pula, ia akan dibuka dari 14 April hingga 18 Mei 2025.
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan media, permohonan UPUOnline itu untuk mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke program asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti dan dua institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT).
"Ia terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf bagi semua program pengajian untuk permohonan Fasa Pertama.
"Hanya program pengajian yang tidak melibatkan temu duga atau ujian dibuka dalam permohonan Fasa Kedua," katanya pada Jumaat.
KPT berkata, pembelian Nombor Pin UPUOnline boleh dilakukan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula 9 Februari (Ahad).
"Pemohon boleh membeli nombor pin ini di 350 cawangan BSN, 700 mesin Automatic Teller Machine (ATM) BSN dan melalui perbankan internet myBSN mulai 9 Februari sebelum mengemukakan permohonan.
"Pemohon diminta untuk menyimpan slip pembayaran untuk rujukan sebagai bukti sah pembelian,” ujarnya.
KPT menjemput semua calon berkelayakan untuk mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
Sebanyak 350 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,131 disediakan untuk lepasan STPM atau setaraf di institusi seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus di alamat berikut:-
Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA
Jabatan Pendidikan Tinggi
Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5
62000 Putrajaya
Telefon: 03-8684 2363
E-mel: upu@mohe.gov.my
Facebook: KEMASUKAN BPKP JPT
Instagram: @KEMASUKANBKPA