Peningkatan gejala vape dan kes ketagihan dadah dalam kalangan pelajar sekolah telah menimbulkan kebimbangan yang serius, sekali gus menuntut tindakan segera bagi melindungi generasi masa depan negara.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ibu bapa, pendidik, komuniti dan pembuat dasar digesa bekerjasama untuk melindungi kanak-kanak serta menyediakan persekitaran yang selamat bagi perkembangan mereka.
"Vape yang sering dipromosikan sebagai alternatif lebih selamat berbanding merokok, sebenarnya tidak kurang bahayanya. Kajian menunjukkan ia boleh menyebabkan masalah respiratori serius, penyakit kardiovaskular dan ketagihan nikotin jangka panjang.
"Penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah juga memberi kesan yang amat buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal, membawa kepada gangguan perkembangan kognitif serta risiko dos berlebihan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Selain kebimbangan terhadap aspek kesihatan, ketagihan juga menjejaskan pendidikan dengan menyebabkan masalah ketidakhadiran, tingkah laku dan penurunan prestasi akademik.
Lam Thye menegaskan pendedahan awal kepada vape dan penyalahgunaan dadah boleh membawa kepada ketagihan bahan terlarang yang lebih serius, sekali gus menjadi ancaman jangka panjang kepada masyarakat.
Bagi menangani isu ini, beliau menyeru agar peraturan diperketatkan, termasuk mengharamkan penjualan dan promosi produk vape di kawasan berhampiran sekolah serta mengenakan hukuman lebih berat terhadap peniaga yang menjual produk itu kepada remaja.
Beliau juga menekankan keperluan pemantauan yang lebih ketat terhadap platform dalam talian bagi membanteras penjualan dan pemasaran haram yang menyasarkan golongan muda.
Memandangkan pendidikan dan kesedaran adalah sama penting, Lam Thye mencadangkan agar sekolah menganjurkan program mengenai bahaya vape dan antidadah, dengan bengkel bersama pakar, pihak berkuasa, serta bekas penagih dapat membantu mendidik pelajar dan ibu bapa.
Lam Thye turut menggesa ibu bapa dan komuniti untuk memainkan peranan aktif dengan menggalakkan perbualan terbuka mengenai risiko ketagihan.
"Melindungi pelajar daripada vape dan ketagihan dadah bukan hanya tanggungjawab sekolah atau kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama kita semua.
"Dengan menangani isu ini secara serius, kita dapat memastikan kesihatan dan masa depan generasi muda kita terjamin," katanya. - Bernama