'Kerana dia, saya memperoleh A1' - Bekas pelajar akui Cikgu Baljeet sumber kejayaan

Iklan
Tangkap layar video menunjukkan Cikgu Baljeet salam dan memeluk pelajarnya selepas sesi pembelajaran tamat.

"Dia mengajar saya Bahasa Melayu semasa Tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, Sabah. Kerana dia, saya memperoleh A1,” demikianlah luahan bekas pelajar, Ramesh Kulasingam berkaitan sebuah video tular di media sosial.

Rakaman berkenaan menunjukkan bekas gurunya, Baljeet Singh Mann, 60, bersalam dan memeluk pelajar selepas sesi pembelajaran tamat.

Iklan
Iklan

Difahamkan, kejadian itu merupakan hari terakhir Cikgu Baljeet berkhidmat sebagai tenaga pengajar di SMK Tawau kerana beliau akan bersara wajib pada 12 Mac ini.

Lebih menyedihkan apabila Cikgu Baljeet kelihatan mula sebak dan mengelap air mata menggunakan tisu sementara memeluk pelajar lelaki.

Iklan

Menjengah ke ruangan komen rata-rata mengakui bahawa Cikgu Baljeet sememangnya guru Bahasa Melayu yang baik dan disayangi pelajar.

"Awak masih guru terbaik saya. Saya adalah sebahagian daripada kelas pertama cikgu di Tawau pada 1991. Kami masih menyayangi Encik Baljeet Singh.”

Iklan

"Pernah sekali, awak jemput saya ke kelas kelas tuisyen cikgu. Saya memberitahu bahawa saya tidak mempunyai wang untuk menghadirinya. Cikgu maklumkan bahawa saya perlu datang sahaja tetapi merahsiakan butiran daripada orang lain.”

"Selamat bersara, cikgu. Saya sekarang adalah somebody kerana cikgu.”

"Saya tidak akan melupakan kata-kata hikmat cikgu iaitu ‘ia sentiasa sukar untuk bermula, tetapi apabila sudah mula, awak tidak boleh berhenti’."

Sementara itu, Cikgu Baljeet memaklumkan beliau pernah dipindahkan ke kampung halaman di Ipoh, Perak namun hanya bertahan selama setahun.

Beliau mengakui terlalu rindukan dan sayangkan SMK Tawau sehingga membuat permohonan pindah semula ke institusi pendidikan di Negeri di Bawah Bayu itu.

"Pada 2022, saya pernah berpindah dari Tawau ke Perak dan video itu juga tular di media sosial. Tetapi kerana rindu dan sayang SMK Tawau, saya mohon balik dan pindah semula ke sekolah asal. Hanya bertahan setahun di kampung halaman," katanya.

Sebagai rekod, SMK Tawau adalah sebuah institusi pendidikan yang terletak sekitar 3.21 kilometer dari pusat bandar Tawau.

Sekolah itu juga menerima pelajar bermula daripada tingkatan peralihan hingga ke tingkatan enam atas.