Diuji dengan penyakit kencing manis sejak usia 10 tahun membuatkan pelajar Sekolah Geylang Methodist (Menengah) di Singapura, Nur Shazana Aliyah Laiqa Muhammad, 14, kekal bersemangat dalam menjalani kehidupan seharian.
Bagi gadis ini, penyakit berkenaan tidak pernah sesekali menghalang dirinya daripada mengejar cita-cita mendalami bidang media.
Katanya, dia berhasrat mahu menyambung pengajian ke politeknik satu masa nanti.
"Saya kena belajar bersungguh-sungguh daripada sekarang.
"Diri beruntung kerana guru dan rakan-rakan di sekolah banyak membantu dalam pelajaran.
"Mereka tahu keadaan saya dan sering bertanya sama ada sudah mengambil ubat atau tidak,” ujarnya yang merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan mereka terhadap dirinya.
Shazana yang menerima bantuan daripada Club Rainbow (badan amal Singapura) berkata, dia kini menyertai kursus pemasaran digital yang ditawarkan kelab tersebut.
Ujarnya, dengan kemahiran dimiliki, mungkin dia berjaya ke politeknik dalam jurusan yang sesuai dengan kemahiran dan minat.
Ibu, Azlina Jamil, 43, melahirkan rasa syukur kerana Shazana direzekikan untuk menerima bantuan perubatan dan barang-barang keperluan daripada Club Rainbow.
Katanya, sumbangan yang dihulurkan oleh badan amal Singapura sejak empat tahun lalu, sangat membantu untuk menampung kos perubatan dan keperluan lain.
Sementara itu, Eksekutif Kanan Jabatan Pendampingan Masyarakat Club Rainbow, Geraldine Tan berkata, program pembangunan yang ditawarkan mereka bermatlamat untuk melengkapi golongan belia usia 13 hingga 20 tahun dengan kemahiran relevan supaya mereka lebih bersedia memasuki dunia pekerjaan.
Katanya, di peringkat usia ini, belia mencari bidang yang menarik perhatian sama ada ia dapat mendorong mereka untuk melanjutkannya sebagai satu kerjaya atau tidak.
Sumber: BERITAmediacorp