Dua beradik cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di susur masuk ke Jalan Besar Sungai Bakap, Nibong Tebal pada pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa yang berusia tujuh tahun dilaporkan putus tangan kiri, manakala adiknya berusia lima tahun putus kaki kanan akibat digilis lori berkenaan.
Difahamkan, mangsa yang juga murid Tahun Satu dan tadika itu membonceng motosikal ditunggang nenek mereka yang berusia 50-an dan sedang dalam perjalanan ke sekolah.
Selain dua beradik itu, wanita berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang membawa muatan tanah merah itu keluar dari susur sebelah kiri jalan sebelum terlanggar motosikal yang berada di hadapannya di sebelah kanan kenderaan berat itu.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung kejadian berkenaan.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Seberang Perai Selatan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
"Pemeriksaan mendapati dua kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan parah dan mereka segera dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap dengan bantuan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).
"Nenek mereka yang mengalami kecederaan di kepala turut diberi rawatan sebelum dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar kemalangan itu tular di media sosial, sekali gus mengundang reaksi simpati daripada orang ramai yang turut mendoakan kesejahteraan mangsa.