4,886 pelajar berkeperluan pendidikan khas telah tamatkan persekolahan sesi 2024/2025

Iklan
KPM komited untuk terus memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan terjamin
Seramai 4,886 murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dari 841 sekolah di seluruh negara telah menamatkan persekolahan bagi sesi akademik 2024/2025.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) 2024 bagi murid berkenaan telah selesai dilaksanakan pada 7 Januari lalu.

Oleh itu, murid daripada golongan berkenaan layak menerima Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM).

"SASM 2024 bagi MBPK akan dikeluarkan pada 26 Februari depan dan boleh diperoleh dari sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi.

"SASM merupakan cerminan agenda pendidikan manusiawi yang memastikan akses pendidikan terbaik untuk semua murid dan tiada sesiapa akan terpinggir,” katanya.

Secara tidak langsung, KPM akan terus komited untuk memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan terjamin bagi semua murid seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.