Lebih 400 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya, Selangor menikmati dan menggunakan kemudahan bilik darjah tambahan baharu yang disediakan kepada mereka bagi sesi persekolahan 2025/2026.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, 12 bilik darjah yang menggunakan kaedah IBS adalah penyelesaian jangka pendek dan efektif bagi menangani isu sekolah padat.
Katanya, ia dapat memberi keselesaan kepada kepada guru dan murid mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan baik dan selesa.
Bagi penyelesaian jangka panjang pula, Fadhlina berkata, SK Cyberjaya 2 (sekolah baharu) yang dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027.
"Sebanyak RM69 juta turut diperuntukkan untuk pembinaan 301 bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah IBS di 95 buah sekolah seluruh Selangor.
"Kerajaan Madani komited untuk meningkatkan akses pendidikan dan menangani isu sekolah padat.
"Ini dibuktikan menerusi kelulusan pembinaan 44 buah sekolah baharu di seluruh negara pada tahun ini dan 26 lagi pada 2024," ujarnya.
Fadhlina berkata demikian ketika mengadakan tinjauan ke SK Cyberjaya bagi melihat sendiri pengoperasian persekolahan sesi baharu dan penggunaan 12 buah bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah IBS.
Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.