Universiti Kuala Lumpur (UniKL) telah mengadakan pemeteraian perjanjian kerjasama dengan Seoul National University of Science and Technology (SeoulTech) Korea, melalui Perjanjian Artikulasi Pemindahan, menandakan langkah penting dalam kerjasama akademik antara kedua-dua institusi terkemuka ini.
Majlis itu telah berlangsung di kampus utama UniKL dan memperkukuh hubungan antara kedua-dua universiti serta menunjukkan komitmen bersama dalam bidang kecemerlangan akademik, mobiliti pelajar dan kerjasama antarabangsa dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) yang pesat berkembang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Profesor Ir Dr Azman Senin menekankan hubungan erat antara UniKL dan SeoulTech yang terjalin melalui pelbagai program mobiliti pelajar dan pertukaran akademik yang bermanfaat.
"Program-program ini tidak hanya memberi manfaat akademik tetapi juga memperkukuh pemahaman budaya antara Malaysia dan Korea," kata beliau baru-baru ini.
Sejarah mobiliti pelajar yang kukuh
Kerjasama antara UniKL dan SeoulTech telah dicirikan dengan beberapa program mobiliti pelajar yang bermakna.
Pada tahun 2024, seramai 20 pelajar UniKL Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) berpeluang menyertai Program Winter Camp di SeoulTech, diikuti dengan penyertaan seramai 25 pelajar lagi pada Januari 2025.
Program-program itu diterima dengan baik dan disokong sepenuhnya oleh SeoulTech. UniKL juga menyambut kedatangan pelajar mereka dengan 14 orang menyertai Program Edutourism Bahasa Inggeris di UniKL Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) pada Julai 2024, dan 10 pelajar lagi pada Januari 2025.
Program-program mobiliti ini telah memberi manfaat yang besar kepada pelajar-pelajar UniKL dan SeoulTech dalam menyediakan pengalaman akademik dan budaya yang berharga serta peluang untuk berkembang secara peribadi, selain membina hubungan antarabangsa dan memahami budaya yang berbeza.
Perluas kerjasama
Berdasarkan kejayaan kerjasama terdahulu, Perjanjian Artikulasi Pemindahan ini memperkenalkan Program Ijazah Pemindahan 3+2, yang membolehkan pelajar Diploma Teknologi Maklumat (IT) UniKL meneruskan pengajian mereka dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Kejuruteraan di SeoulTech.
Pelajar dijangka menghabiskan program ini dalam masa lima tahun melibatkan tiga tahun di UniKL MIIT dan dua tahun di SeoulTech.
Azman juga berkongsi bahawa kerjasama ini tidak terhad kepada mobiliti pelajar sahaja, malah pada hari-hari mendatang ia akan merangkumi penempatan visiting lecturer bagi memperkukuhkan pertukaran akademik, perkongsian ilmu dan hubungan institusi yang lebih erat.
Manfaat pelajar dan institusi
Perjanjian Artikulasi Pemindahan ini memberikan manfaat yang besar kepada kedua-dua institusi. Bagi UniKL, ia memperkukuhkan komitmen universiti dalam menyediakan laluan pendidikan yang berkualiti dan berpatutan bagi pelajar, sambil memperkukuh kedudukan UniKL sebagai peneraju pendidikan antarabangsa dalam bidang IT.
Bagi SeoulTech pula, program ini menawarkan peluang untuk memperkaya komuniti pelajarnya dengan pelajar-pelajar yang bermotivasi tinggi serta perspektif budaya yang baru.
Selain itu, program ini turut menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja global dengan menghasilkan profesional IT yang berkemahiran tinggi dilengkapi kepakaran teknikal, pendedahan antarabangsa, dan kemahiran berfikir kritikal untuk memenuhi permintaan ekonomi digital masa kini.
Perjanjian ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak kerjasama yang dijangka memberikan manfaat besar kepada kedua-dua institusi.
Kedua-dua UniKL dan SeoulTech amat teruja meneruskan inisiatif yang lebih lanjut, termasuk program pertukaran fakulti secara berkala, penyelidikan bersama, dan kerjasama industri yang akan memberi manfaat kepada sektor IT.