Makanan ringan sering menjadi kesukaan murid kerana mudah didapati dan murah.
Pembungkusan menarik dan strategi pemasaran yang agresif juga memainkan peranan dalam menarik minat murid untuk membeli makanan itu terutamanya di luar kawasan sekolah.
Bagaimanapun, pengambilan yang berlebihan boleh memberi kesan buruk antaranya diuji masalah kesihatan hingga membawa maut.
Terbaharu, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, telah meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam pada Khamis akibat tercekik gula-gula gummy eyeball.
Allahyarham dipercayai membeli dua biji gula-gula kenyal itu di sebuah gerai sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), SK Sungai Dua Selasa lalu.
Mangsa tercekik dan mengalami kesukaran bernafas serta sempat berjalan ke arah guru sebelum rebah tiba-tiba.
Arwah di hantar ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang hinggalah menghembus nafas terakhir di sisi ibu bapanya.
Susulan kematian itu, Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, gummy eyeball boleh menjadi 'perangkap maut’ yang membunuh kanak-kanak atau murid.
Ia kerana, gula-gula kenyal tersebut mampu menjadi 'penyendal' saluran pernafasan kanak-kanak yang sempurna.
Dalam posting sama, PHM turut mengulas lanjut tentang ciri-ciri gummy eyeball yang tidak sepatutnya dijual dalam pasaran.
"Tekstur licin dan kenyalnya dengan mudah tergelincir terus ke dalam tekak sebelum sempat dikunyah.
"Bentuk bulat dan besar menyebabkan jika tidak dikunyah sempurna, ia boleh tersangkut di saluran pernafasan.
"Sukar dikeluarkan jika tersedak, sangat berbeza dengan makanan keras yang boleh dihentak keluar, gula-gula ini melekit dan boleh menyumbat saluran udara sepenuhnya,” ujarnya.
Kongsi mereka lagi, gummy eyeball berisiko lebih tinggi kepada kanak-kanak kecil yang belum pandai mengunyah dengan betul selain lebih mudah panik jika tercekik.
"Dalam konteks ini, mereka bukan tahu gula-gula kenyal berkenaan bahaya atau tidak.
"Mereka hanya tahu, makanan ini manis dan seronok dimakan," maklum PHM.