USAS sedia insentif RM8,000 galak penyelidikan

Iklan

Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menyediakan insentif penyelidikan berjumlah RM8,000 bagi projek-projek terbaik dalam program Sains, Teknologi, Agrikultur dan Landskap Expo (STARTLE 2025) untuk ditampilkan pada Hari Inovasi Peringkat Kebangsaan.

Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, insentif berbentuk dana yang diberikan secara berperingkat itu diharap menyuntik semangat kepada penyelidik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia sekali gus menggalak penghasilan lebih banyak produk dan penyelidikan dalam bidang teknologi maklumat, multimedia, landskap dan pertanian.

"Dengan adanya insentif ini, kita berharap semoga lebih banyak produk dan penyelidikan dari USAS dan IPT (institusi pengajian tinggi) luar dapat diangkat ke pentas yang lebih tinggi, mendapat pengiktirafan dan seterusnya dikomersialkan.

Iklan

"Program STARTLE ini memberi peluang kepada mahasiswa dan penyelidik untuk menghasilkan projek inovatif yang dapat memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat,” katanya ketika berucap.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Penutup Program STARTLE yang diadakan di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir menyempurnakan program itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Wan Sabri berkata, penganjuran STARTLE juga selari dengan usaha USAS dalam memastikan inovasi yang dihasilkan bukan sahaja bersifat akademik tetapi juga praktikal serta relevan dengan keperluan semasa.

Saarani ketika berucap merasmikan majlis itu menyeru lebih banyak sektor kerajaan mahupun swasta untuk berkolaborasi dengan institusi pendidikan dan penyelidikan dalam meneroka potensi baharu demi kemajuan negeri Perak.

Jelasnya, matlamat kerajaan negeri bukan sekadar mengejar kemajuan ekonomi tetapi memastikan pembangunan ini bersifat mampan, berdaya tahan serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan alam sekitar.

"Saya yakin dalam masa terdekat, inovasi dari program ini bukan hanya akan dipamerkan, tetapi juga dipatenkan, dikomersialkan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Kejayaan tidak menanti kesempurnaan, tetapi memerlukan keberanian untuk mencuba dan kegigihan untuk terus maju," katanya.

Dengan tema Innovate to Elevate, STARTLE 2025 memperkenalkan pelajar kepada standard global dengan menyediakan platform pertandingan dan kolaborasi antarabangsa serta memberi pengiktirafan projek berkualiti tinggi melalui klasifikasi Emas, Perak dan Gangsa.

Selain pelajar USAS, STARTLE 2025 turut menyaksikan penglibatan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah, dan Kolej Vokasional Gerik.

Program STARTLE merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Teknologi Maklumat, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, USAS.

Bermula pada tahun 2019 sebagai inisiatif untuk memupuk budaya inovasi dalam kalangan pelajar, program ini telah berkembang menjadi platform yang berprestij untuk pameran projek saintifik, teknologi, agrikultur dan landskap yang berorientasikan produk penyelesaian masalah.