Kematian opah pada Sabtu mengejutkan ramai terutama bagi mereka yang mengenalinya.
Merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan bertugas sebagai pengawal lalu lintas sekolah, opah atau nama sebenarnya Natrah Ahmad meninggal dunia akibat satu kemalangan jalan raya Sabtu lalu.
Seorang pengguna Facebook dikenali Wan LuQman memaklumkan, opah terkenal dalam kalangan ibu bapa dan murid-murid sekolah di sekitar Gombak, Selangor.
"Pemergian Allahyarham yang berusia lingkungan 70-an ini mengejutkan kami. Arwah seorang yang berdedikasi dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya khususnya di hadapan sekolah-sekolah.
"Sepanjang yang kami tahu, arwah sering memudahkan urusan orang lain dalam menjaga lalu lintas depan sekolah yang sentiasa sesak.
"Beliau juga cukup menjaga dan memimpin tangan anak-anak melintas sekolah dengan selamat bagaikan seorang nenek menjaga cucunya sendiri dan kami menjadi saksi akan kebaikan dan jasa arwah," tulisnya di Facebook.
Sementara itu, cucu opah, Nur Syafiqah Arjis berkata, neneknya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak pada Ahad.
"Pemergian yang akan dirindukan.
"Terima kasih kepada semua yang menitipkan doa dan ucapan takziah kepada yang nenek meninggal pada usia 74 tahun," ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warga maya berkongsi rasa sedih dengan apa yang berlaku ke atas opah.
Ada antaranya turut memberi komen tentang keperibadian opah di mata mereka.
"Kerja beliau mulia. Mudahkan urusan ramai orang. Semoga ALLAH tempatkan arwah bersama-sama mereka yang dikasihiNya," tulis Asrol Adizar.
"Innalillahi wa inna Ilaihi Raji'un. Salam takziah buat keluarga arwah. Walaupun telah tiada namun jasanya tetap dikenang. Semoga rohnya dicucuri rahmat ALLAH," maklum Zairatul Aznil Alias.
"Ini pasti hasil dia ikhlas bekerja untuk menyara keluarga. Ikhlas santuni orang sekeliling dia hingga timbul rasa kasih sayang sesiapa yang melihat arwah," catat Suriani Mubarak.
"Arwah 'jaga sekolah' yang paling terbaik. Selalu pimpin tangan anak-anak sampai depan kereta semasa balik," ujar Aishh Shamse.